Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Para Ilmuan Perlu Tunaikan Amanah – Arifin

By 4 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Johny George Kimlon (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Para ilmuan perlu menunaikan amanah keilmuan iaitu sentiasa setia kepada misi dan moral kecendekiawanan.

Menurut Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Mohd Arif, setiap ilmu mempunyai ciri nilai dan falsafah yang mesti dihuraikan menurut perspektif syarak yang dipandu oleh al-Quran, iman dan taqwa.

“Sebarang penyimpangan dan penyelewengan oleh para ilmuan dalam menghuraikan sesuatu ilmu akan mewujudkan ketidakseimbangan, kerosakan dan gangguan kepada manusia dan alam sekitar.

“Oleh kerana itulah para ilmuan mesti berlaku adil dan amanah dalam menyampaikan ilmu supaya mereka yang akan menerima ilmu tersebut tidak terpesong dari ajaran Islam yang sebenar.

“Para ilmuan ini hendaklah sentiasa membimbing ummah sehingga berupaya meneroka, mencipta dan mengendali kemajuan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1442H/ 2021M, di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lalu menyebabkan banyak perkara melibatkan syarak dikemaskini dengan fatwa-fatwa baharu menerusi Muzakarah Fatwa Kebangsaan.

“Kini kita berhadapan dengan situasi yang sangat mencabar di mana seluruh Dunia di uji dengan Pandemik COVID-19.

“Selama setahun sehingga kini kita masih lagi mengamalkan norma baharu yang membolehkan kita memutuskan rantaian COVID-19 daripada terus bermaharajalela.

“Dengan norma baharu, maka perkara-perkara yang melibatkan syarak juga telah dikemas kini dengan fatwa-fatwa baharu di mana ulama-ulama kita berhimpun dan mengadakan perbincangan dalam hal ehwal Islam pada Muzakarah Fatwa Kebangsaan,” katanya.

Ujarnya, kemampuan dan kejayaan Sabah menganjurkan majlis tahunan tersebut membuktikan bahawa nikmat keamanan dan kemakmuran sentiasa dilimpahi kepada negara, walaupun berada dalam keadaan yang mencabar.

-SH

 

Tinggalkan komen anda