Skip to main content
Berita TempatanSabah

Arthur Sampaikan Bantuan Makanan kepada Penduduk Mukim Sepulut

By 8 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Idris Sani Saberun (Kota Kinabalu)/Pejabat Timbalan Menteri JPM (Ekonomi)

NABAWAN, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 1400 karton air minuman bersih dan 500 bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk-penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Sapulut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata bantuan ini diberikan bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan akibat PKPD.

“Apabila PKPD dilaksanakan, mereka tidak dibenarkan untuk bergerak dan diarahkan untuk tinggal dirumah bagi mengelakkan berlakunya penularan wabak COVID-19, justeru melihat kepada keperluan ini, saya telah mengambil inisiatif untuk mengagihkan sumbangan ini kepada ketua isi rumah yang terlibat.

“Kita perlu pastikan semua penduduk yang dikuarantin mempunyai bekalan makanan yang mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut Arthur, lebih daripada 200 keluarga terlibat dengan PKPD berpagar yang terdiri daripada tiga buah kampung iaitu Kampung Singsingon, Kampung Panabaan dan Kampung Lotong.

SERAH.. Arthur (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penduduk Kampung Lotong yang dikuarantin.

SERAH.. Arthur (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penduduk Kampung Lotong yang dikuarantin.

“Terdapat beberapa buah kampung lagi yang tidak terlibat dengan PKPD berpagar tetapi kebanyakan penduduk diarahkan untuk kuarantin di rumah yang mana mereka ini juga turut dibantu,” jelas beliau.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan merayu kepada semua penduduk khususnya di Parlimen Pensiangan untuk duduk di rumah dalam tempoh dua minggu ini.

“Jangan keluar jika tiada urusan penting, jaga diri, jaga kebersihan dan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pegawai Daerah Nabawan selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, petugas barisan hadapan yang sentiasa bertugas siang dan malam bagi memantau perkembangan dan memastikan keselamatan serta kesihatan penduduk di sini terjamin,” katanya.

-RI

 

Tinggalkan komen anda