Laporan/foto: Bustan Made Aming/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun depan.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Sri Abdul Rahman Dahlan, berkata hospital berkenaan akan berfungsi sebagai pusat latihan praktikal kepada pelajar UMS, selain dibuka kepada orang awam bagi mendapatkan rawatan.
“Hospital yang mempunyai kapasiti 400 katil itu akan memberi kemudahan kepada orang awam.
“Kita berharap agar pembinaan hospital tersebut menjadi pemangkin kepada kesejahteraan kesihatan rakyat di negeri ini,” ujarnya kepada media selepas Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Pro Censelor kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin selaku Censelor UMS di Istana Negeri, di sini hari ini.
Turut membuat kunjungan hormat ialah Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu Datuk Dr. Zulkapli Mohamed yang menggantikan Datuk Samsuni Mohd Nor yang bersara wajib pada 20 Februari yang lalu.
-SH