Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

SEBOC Mohon Rentas Daerah Dibenarkan Semasa PKPP Sabah

By 3 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Idris Sani Saberun/SEBOC (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Presiden Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bas Ekspress Sabah (SEBOC) Datuk Donald Hanafi, berkata Majlis Pengusaha Bas Ekspress Sabah yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk meminta kerajaan negeri mempertimbangkan agar aktiviti rentas daerah dibuka bagi membolehkan perkhidmatan bas ekspress beroperasi semula dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Jelas beliau, kebanyakan pengusaha bas ekspress kini berdepan kerugian yang tidak dapat ditanggung akibat sekatan yang dilaksanakan semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Justeru itu, pengusaha, pemandu dan kakitangan dalam sektor ini amat tertekan untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana kehilangan sumber pendapatan.

SEBOC beserta kira-kira 100 pengusaha bas ekspress bercadang untuk menemui Ketua Menteri dibangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah bagi menyampaikan pandangan mereka berkaitan pelanjutan sekatan rentas daerah yang diumumkan oleh kerajaan kelmarin.

“Kami berpandangan bahawa kerajaan negeri sepatutnya mengikut langkah yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan aktiviti rentas daerah bermula 5 Mac di lima negeri yang melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), akan tetapi penduduk di negeri Sabah tidak menikmati kelebihan tersebut,” jelasnya dalan satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, negeri Melaka, Pahang, Terengganu, Perlis, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan akan melaksanakan PKPP bermula 5 Mac hingga 18 Mac ini dengan kebenaran rentas daerah manakala PKPP bagi negeri Sabah tiada kebenaran rentas daerah diberikan.

-SH

Tinggalkan komen anda