Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Pahang Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail, merupakan penerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pertama di Pahang bersama dengan petugas barisan hadapan Negeri Pahang yang lain bagi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 1 Negeri Pahang yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini baru-baru ini.
Pemberian ini juga dijalankan serentak di beberapa pusat pemberian vaksin yang telah ditetapkan. Dijadualkan seramai 2,729 petugas barisan hadapan akan diberikan imunisasi COVID-19 di 36 fasiliti pemberian vaksin.
Menurut Wan Rosdy, beliau tidak merasakan kesan atau alahan selepas menerima suntikan vaksin ini.
“Oleh itu, jangan rasa bimbang kerana saya sudah menerima suntikan vaksin dan dipantau.
“Saya menyeru rakyat Pahang supaya menerima suntikan ini kerana diberikan secara percuma oleh kerajaan dan jika tidak mengambilnya, ia sedikit sebanyak akan mengganggu kehidupan seharian,” katanya ketika sidang media selepas program itu.
Wan Rosdy, berkata Program Imunisasi Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang ini akan diadakan berperingkat secara tiga fasa.
“Fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan negeri Pahang, fasa kedua pula melibatkan golongan warga emas, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan kumpulan berisiko yang menghidap penyakit kronik.
“Manakala, bagi fasa ketiga melibatkan individu berumur 18 tahun ke atas.
“Penghantaran pertama sebanyak 23,400 dos vaksin COVID-19 tiba di negeri Pahang pada 24 Februari lalu dan melibatkan lima buah pusat simpanan vaksin,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang.
-KN