
Laporan/foto: Zuriatina Tamat/Mohd Sharir Mohd Sani (Kluang)
KLUANG, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Jelajah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) anjuran Pejabat Daerah Kluang ke lapan buah mukim dalam daerah ini bagi menghubungkan penduduk dengan maklumat terkini kerajaan.
Menurut Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A.Hamid, jelajah ini disertai oleh penghulu dan ketua-ketua kampung yang menjadi pemudah cara dalam menyampaikan maklumat sahih tentang vaksin COVID-19 kepada masyarakat setempat.
“Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) turut bersama-sama membantu memberi penerangan dan memantau tahap kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh jelajah ini berlangsung.
“Kerjasama daripada semua pihak dapat membantu memberi kesedaran dan meyakinkan masyarakat tentang kebaikan menerima suntikan vaksin COVID-19,” katanya ketika ditemui pada program tersebut, di sini semalam.
Tambah beliau, daripada 340,000 orang penduduk Kluang 272,000 diperlukan bagi mencapai 80 peratus imuniti kelompok.
Pegawai Kesihatan Daerah Kluang Dr. Linayanti Rosli, berkata jumlah penduduk di daerah ini yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin masih pada tahap yang rendah.
“Kerajaan menyasarkan 70 peratus penduduk Malaysia menerima vaksin untuk mewujudkan imuniti kelompok, namun setakat semalam data dari aplikasi MySejahtera menunjukkan hanya sebilangan kecil penduduk Kluang yang telah mendaftar.
“Saya berharap Agen ABC-19 dapat bersama-sama membantu mendaftarkan orang ramai terutama golongan warga emas dan yang berisiko tinggi agar mereka tidak tercicir dari menerima suntikan vaksin,” ujarnya.
Linayanti berkata walaupun pengambilan vaksin ini tidak diwajibkan, namun masyarakat perlu sedar yang mana vaksin ini mampu melindungi diri dari risiko dijangkiti wabak COVID-19.
Seorang sukarelawan ABC-19 Mukim Layang-layang, Yoang Lan Yoke, 57, yang ditemui berkata sudah menjadi rutin beliau selaku Ahli Majlis dan sukarelawan setempat untuk membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat Tionghoa di kawasan ini.
“Sebagai sukarelawan, kami sentiasa memastikan maklumat-maklumat terkini dan sahih dari kerajaan disalurkan kepada komuniti setempat.
“Selain memberi kesedaran, ejen ini juga akan memastikan anggota komuniti mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar mereka terhindar daripada jangkitan COVID-19,” ujarnya.
Sementara itu, PICK Mukim Layang-layang merupakan lokasi pertama program jelajah ini sebelum diteruskan ke Mukim Renggam, Mukim Machap dan Mukim Ulu Benut.
Jabatan yang terlibat sama dalam jelajah bersepadu kali ini adalah Pejabat Kesihatan Daerah Kluang, Angkatan Pertahanan Awam Kluang, Pejabat Penerangan Daerah Kluang dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kluang.
-NI-