Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

CITF Bantu Lancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

By 18 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shahrina Amran/Muhammad Nazriq Hakimi Abdul Gani (Segamat) 

SEGAMAT, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) ditubuhkan untuk menyelaras tindakan bersepadu pelbagai kementerian dan badan kerajaan bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut Pegawai Daerah Segamat Nasri Md Ali, CITF akan memastikan PICK dapat dilaksanakan dengan kemas, lancar dan teratur dalam mencapai objektifnya dibantu pelbagai kementerian dan badan kerajaan.

“CITF merupakan sebuah jawatankuasa bersepadu yang terdiri daripada pelbagai agensi persekutuan dan negeri yang bertanggungjawab melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif memberi penerangan mengenai vaksin COVID-19.

“CITF yang diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar, itu antara lain ditubuhkan bagi membuat pelaporan kepada Jemaah Menteri,” katanya ketika merasmikan Program Komuniti@PMR CITF COVID-19 Imunisation Task Force dan Pendaftaran Penerima Vaksin COVID-19 anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini baru-baru ini.

Pengarah Penerangan Negeri Johor Sabaruddin Yeop Hamzah, dalam ucapannya berkata 80 peratus penduduk Johor akan menerima vaksin menjelang Februari 2022 yang secara tidak langsung akan membantu melandaikan lagi graf serta memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan dan akhirnya menamatkan pandemik COVID-19.

“Namun begitu dengan penyebaran pelbagai berita dan maklumat palsu mengenai suntikan vaksin COVID-19 di laman media sosial oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab akan menganggu kelancaran usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.

“Penularan maklumat palsu ini bukan sahaja akan mencetuskan kekeliruan tetapi juga akan menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat khususnya golongan berisiko tinggi dan warga emas dan masyarakat perlu menyemak kesahihan maklumat yang dibaca dan diterima, fikir dahulu dan lihat sama ada ia benar atau sebaliknya sebelum menyebarkannya,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah Segamat Dr Zaid Kassim, Pentadbir Tanah Daerah Segamat Mohd Helmi Datuk Sha’ri@Shangari dan Ahli Dewan Undanngan Negeri (ADUN) Kawasan Kemelah Dr Sulaiman Mohd Nor.

-NI-

Tinggalkan komen anda