
Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)/Siti Norazura Ibrahim (JPJ Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kuala Pilah meraikan sambutan Hari Wanita 2021 dengan menyediakan Kaunter Khas Wanita bagi pelanggan yang berurusan di sini.
JPJ Cawangan Kuala Pilah mengambil inisiatif menyediakan kaunter khas untuk para pelanggan wanita selama sebulan bermula 8 Mac 2021 bagi menghargai dan meraikan mereka.
Menurut Ketua Cawangan JPJ Kuala Pilah Siti Norazura Ibrahim, melalui kaunter khas tersebut para pelanggan wanita dapat terus berurusan dengan kami dengan cepat, tenang dan disamping itu pihak JPJ turut memberikan cenderahati kepada para pelanggan wanita sebagai tanda penghargaan atas sumbangan wanita.
“Inisiatif hiasan dan keceriaan kaunter ini merupakan kerjasama bersama warga JPJ Kuala Pilah termasuk anggota lelaki.
“Tinggi harapan saya supaya semua penguatkuasa wanita terus kuat dan komited dalam menangani setiap cabaran yang mendatang.
‘’Walaupun kerjaya penguatkuasa didominasi oleh golongan lelaki, namun kehadiran anggota wanita jelas membantu dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mematuhi undang-undang pengangkutan dan jalan raya,’’ ujarnya ketika ditemui di pejabat JPJ, di sini semalam.
Sementara itu, pelanggan yang ditemui, Zuliana Abdul Aziz, 35, mengharapkan agar kaunter sebegini dapat diteruskan terutamanya ketika waktu puncak di jabatan atau agensi kerajaan seiring dengan dasar pemerkasaan wanita negara.
Bagi petugas hadapan, Hasfalela Muhamad Yunus, 34, sesungguhnya kaunter khas wanita memberi kelainan kepada pelanggan kerana mereka dapat berurusan dengan segera.
“Perkhidmatan ini juga membantu warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) Wanita untuk terus mendapatkan perkhidmatan di JPJ,” katanya.
-FF