Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Agensi Agama Disaran Sentiasa Bersatu

By 10 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian(Labuan)

LABUAN, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Semua agensi agama bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) disarankan untuk sentiasa bersatu dan bekerjasama.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, kerjasama itu akan memberikan impak yang tinggi kepada pembangunan bangsa dan agama.

“Saya nasihatkan semua agensi di bawah saya untuk sentiasa bekerjasama supaya apa yang kita lakukan memberi impak serta memberi kesan yang cukup baik.

“Kerjasama ini akan memberi banyak kelebihan, satu perkara mungkin sukar bagi satu agensi tetapi apabila bergabung boleh menjadi mudah,” katanya selepas melancarkan Program “Less Than 2 Minutes“, “Bicara Hidayah” dan “Anda Tanya Ustaz Jawab” di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan, di sini hari ini.

Dr. Zulkifli (tengah) semasa melancarkan Program "Anda Tanya Ustaz Jawab" dan Program Bicara Hidayah sambil disaksikan Aminah (kanan)

Dr. Zulkifli (tengah) semasa melancarkan Program “Anda Tanya Ustaz Jawab” dan Program Bicara Hidayah sambil disaksikan Aminah (kanan).

Dr. Zulkifli turut menyarankan Pejabat Mufti Labuan memperbanyakkan program turun padang khususnya di masjid dan surau yang boleh memberi banyak manfaat khususnya kepada masyarakat yang dahagakan ilmu.

Dalam lawatan singkatnya ke Labuan, Dr. Zulkifli berkesempatan menyempurnakan Majlis Amanat YB Menteri di JPM bersama warga agensi Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Utama, Kompleks Darul Kifayah selain menyantuni tiga buah keluarga asnaf dalam Program Ziarah Prihatin di Kampung Ganggarak dan Kampung Sungai Bedaun, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Aminah Samsudin Mohd berkata, Program “Anda Tanya Ustaz Jawab” dan “Bicara Hidayah” merupakan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Labuan dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan.

“LabuanFM akan terus melangkah dengan jabatan atau agensi lain seperti Pejabat Mufti untuk kami mendapatkan penceramah yang bertauliah dan boleh memberi maklumat yang tepat kepada masyarakat dalam hal agama,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda