
Laporan/foto: Mohd Haizul Rohani/Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Kerjasama antara Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah membantu sebar luas maklumat mengenai keselamatan di Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Jamaluddin Mohd Ali, berkata kerjasama di antara dua agensi ini mampu membantu gerak kerja keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
“Agensi Kerajaan seperti JaPen mempunyai kepakaran dalam bidang komunikasi, dan kemahiran tersebut tidak ada pada semua kerana setiap agensi mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.
“Ketua Menteri juga pernah berpesan bahawa keselamatan negeri bukan sahaja terletak di bahu pasukan keselamatan semata-mata, tetapi penglibatan masyarakat secara keseluruhannya.
“Penglibatan JaPen di dalam program yang ESSCOM anjurkan seperti program menyantuni balu-balu anggota yang terkorban semasa peristiwa Tanduo, dapat membantu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga keselamatan dan menghargai pengorbanan wira-wira negara yang terkorban semasa berjuang,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat ESSCOM ke JaPen Sabah di Wisma Dang Bandang, di sini baru-baru ini.
Sesi kunjungan yang berlangsung selama satu jam bersama-sama Pengarah Penerangan Sabah Nadzerah Abdullah, membincangkan bentuk kerjasama yang dapat dibuat antara kedua-dua agensi untuk manfaat yang lebih besar kepada masyarakat di negeri ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Harun Maddasa, Pengarah Bahagian Khidmat Keurusetiaan ESSCOM Nurul Ellda Baharuddin, pegawai-pegawai kanan ESSCOM serta barisan pengurusan tertinggi JaPen.
-RI