Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Anak Jati Kota Belud Perkenal Aplikasi RunED

By 30 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamidah Len (Kota Kinabalu)

KOTA BELUD, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Berbekalkan prinsip rezeki harus dikongsi bersama, mendorong anak jati Kampung Sembirai, Azizul Lemin, 35, memperkenalkan aplikasi perkhidmatan penghantaran tempatan RunED (Runner Express Delivery).

Beliau yang pernah menjadi penolong jurutera di syarikat swasta selama hampir 10 tahun menjelaskan, RunED menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan, barang-barang runcit, penghantaran bungkusan dan perkhidmatan.

“Pengguna boleh memesan barangan runcit menerusi aplikasi RunED di mana pelbagai barangan keperluan harian seperti hasil laut, keperluan dapur dan pakaian dapat dibeli menerusi aplikasi mudah alih ini.

“Perkhidmatan penghantaran makanan terbahagi kepada dua iaitu peniaga (vendor) yang mempunyai premis serta pengusaha makanan berlesen yang menjalankan perniagaan dari rumah,” katanya ketika ditemui di Pekan Kota Belud, di sini baru-baru ini.

Salah seorang RunED Rider bersedia menghantar barangan pesanan pelanggan.

Salah seorang RunED Rider bersedia menghantar barangan pesanan pelanggan.

Menurut Azizul, memanfaatkan kerancakan jual beli dalam talian terutamanya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak setahun yang lalu di mana pengguna boleh menggunakan aplikasi ini untuk memesan bantuan penghantar mengambil barangan dan lain-lain kerja penghantaran.

“Pengguna berpeluang memperolehi pendapatan seumur hidup menerusi program ‘refer and earn‘ selama mana individu berbelanja atau menggunakan aplikasi ini, di mana perkhidmatan RunED ini turut menyediakan senarai peniaga berkepakaran dalam sepuluh bidang seperti tuisyen, penjagaan kanak-kanak, kimpalan, elektronik, sewaan kereta, gunting rambut dan banyak lagi.

“Pengguna hanya perlu memuat naik khidmat yang diperlukan dalam aplikasi RunED dan tempahan tersebut akan terapung dalam aplikasi, manakala, para penyedia perkhidmatan boleh melihat tempahan pelanggan yang sesuai dengan kemahiran mereka seterusnya membida caj perkhidmatan mereka untuk penyelesaian setiap tempahan,” jelas Azizul.

Azizul berkata, aplikasi RunED ini mula beroperasi pada 1 Mac yang lalu dan kini mempunyai 40 vendor aktif dan teradapat 20 orang penghantar berdaftar.

”Kepada yang berminat menjadi penghantar, pendaftaran boleh dilakukan menerusi aplikasi RunED Rider yang boleh dimuat turun dari Google Playstore dan sesi temuduga akan dilakukan atas tujuan kawalan kualiti,” ujarnya yang mengumpul dana sendiri untuk menampung kos pembangunan & operasi aplikasi ini sejak 2018.

Beliau menzahirkan harapan agar masyarakat terus memberi sokongan kepada aplikasi RunED untuk bersaing setaraf produk global yang lain.

Azizul (kanan) bersama salah seorang pengusaha yang menggunakan perkhidmatan RunED.

Azizul (kanan) bersama salah seorang pengusaha yang menggunakan perkhidmatan RunED.

-RI

Tinggalkan komen anda