Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

SMJ Bakal Lonjak Pembangunan Negeri Sabah

By 30 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Janifer Stanis/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) melalui Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025 akan melonjakkan kemajuan pembangunan dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, berkata pelan pembangunan tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sepanjang 2021 hingga 2025.

“Pelaksanaan fasa pertama telah dimulakan dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0:2021-2025) berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu ‘S’,‘M’ dan ‘J’.

“Sektor ‘S’ iaitu Sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan menjadi fokus kepada pertumbuhan ekonomi.

“Sektor ‘M’ iaitu Modal Insan dan Kelestarian Rakyat, manakala sektor ‘J’ pula adalah Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau yang bergerak seiring dengan kerangka agenda pembangunan nasional di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Majlis Amanat & Pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini semalam.

Menurut Hajiji, lima pemboleh daya turut diberi tumpuan bagi menyokong tumpuan-tumpuan utama tersebut iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan dan kecekapan penyampaian, kecemerlangan tadbir urus yang berintegriti serta kerajaan digital.

Pada majlis tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong menyampaikan Buku Hala Tuju SMJ kepada Hajiji dan beliau turut menyerahkan Buku Ringkasan Eksekutif SMJ kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadzim M. Yahya, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Dr Zulkaply Mohamed dan Jemaah Menteri Kabinet negeri.

Hajiji (lapan dari kanan), Safar (lapan dari kiri), Rosmadi (tujuh dari kanan) bersama menteri-menteri kabinet mempamerkan buku Hala Tuju Sabah Maju Jaya kepada sidang hadirin.

Hajiji (lapan dari kanan), Safar (lapan dari kiri), Rosmadi (tujuh dari kanan) bersama menteri-menteri kabinet mempamerkan buku Hala Tuju Sabah Maju Jaya kepada sidang hadirin.

-RI

Tinggalkan komen anda