Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan/Muhammad Nazriq Hakimi Abdul Gani (Segamat)
SEGAMAT, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 57 orang ketua kampung telah menerima surat lantikan dan mengangkat sumpah penerimaan jawatan sebagai Ketua Kampung Daerah Segamat yang melibatkan 11 Mukim.
Menurut Pegawai Daerah Segamat Nasri Md Ali, Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampong (JPKK) merupakan pemimpin diperingkat kampung dan bertanggungjawab dalam segala hal terutama dari segi keselamatan dan kemajuan sesebuah kampung serta menggerakkan komuniti setempat untuk kesejahteraan kampung.
“Saya berharap mereka akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi dan sentiasa peka dengan keperluan dan masalah yang dihadapi oleh penduduk bawah jagaannya.
“Sebagai contoh, saya tidak mahu sekiranya berlaku sebarang bencana atau perkara yang tidak diingini, ketua kampung tidak tahu dan tidak ingin ambil tahu langsung, mereka harus sentiasa memantau dan peka dengan keadaan di sekitar kampung,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Ikrar dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua-ketua Kampung Daerah Segamat bagi penggal 2021/2022, di sini semalam.
Tambah beliau, ketika ini pandemik wabak COVID-19 masih melanda negara, ketua kampung perlu mencari jalan penyelesaian dan membantu meringankan beban penduduk agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.
“Sementara itu, program vaksinasi COVID-19 fasa satu telah bermula di daerah ini yang melibatkan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan petugas kesihatan.
“Maka di sini ketua kampung perlu memainkan peranan mengenal pasti dan memastikan para penduduk di kawasannya mendaftar di aplikasi MySejahtera, laman web atau di klinik kesihatan dan hospital yang berkaitan untuk agar mereka tidak tercicir bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 terutama golongan warga emas dan yang berisiko tinggi,” ujarnya lagi.
Nasir mengingatkan semua ketua kampung agar sentiasa memberikan komitmen dan mendukung usaha-usaha kerajaan dalam memutuskan penularan wabak COVID-19 serta wajib hadir di setiap majlis yang dianjurkan oleh pejabat daerah atau kerajaan negeri.
Ketua Kampung Tahang Rimau Abd Nawab Mohamed, 55, yang ditemui berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pentadbiran pejabat daerah Segamat kerana memberi peluang kali kedua kepada beliau untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Kampung.
“Saya akan memikul amanah dan kepercayaan orang kampung dalam menjalankan tugasan selagi perkhidmatan saya diperlukan.
“Saya ingin berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya bagi mengetuai bacaan ikrar dan mengangkat sumpah pelantikan sebagai Ketua Kampung yang berkuatkuasa 1 Mac 2021 hingga 31 Disember 2022,” katanya.
Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah Mohd Fazle Mohd Yusop, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Mohamad Ruzaili Azmi, Penolong Pegawai Daerah (Khidmat Pengurusan) Hamizah Abu Kadir dan Penghulu Kanan Daerah Segamat Ishak Abu Bakar.
-NI-