Laporan/foto: Nurulaini Mohd Kasran/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 4 Mac ( Malaysiaaktif ) – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang menyasarkan petugas barisan hadapan sebagai penerima vaksin fasa satu terus dilaksanakan di seluruh negara bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19 di Malaysia.
Bagi daerah Kota Tinggi, Desaru Coast Conference Center (DCCC) telah dipilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi fasa satu.
Menurut Pegawai Daerah Kota Tinggi Hazlina Jalil, pemilihan DCCC sebagai PPV yang pertama untuk daerah ini kerana ia memiliki kelengkapan fasiliti yang terbaik, lokasi yang strategik dan memiliki keluasan yang diperlukan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak DCCC kerana telah menawarkan tempat yang luas dan selesa ini untuk dijadikan PPV fasa satu kepada petugas barisan hadapan di daerah ini.
“Kolaborasi di antara kerajaan negeri dan pihak swasta seperti DCCC dalam menyediakan PPV ini dapat memastikan kejayaan program imunisasi dan mencapai jumlah sasaran imuniti kelompok dengan lebih cepat,” katanya ketika ditemui pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Daerah Kota Tinggi di Desaru Coast Conference Center, di sini hari ini.
Tambah beliau, pemilihan lokasi yang selesa ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh petugas barisan hadapan dalam usaha menangani pandemik COVID-19.
“Setakat semalam, seramai 200 orang petugas telah menerima vaksin Pfizer-BioNTech.
“Apabila semua para petugas barisan hadapan telah selesai menerima vaksin, barulah kita akan fokus kepada ketua-ketua jabatan yang mana pada hari ini merupakan giliran Ketua Polis Daerah, Pegawai Kesihatan Daerah dan saya sendiri selaku Pegawai Daerah untuk menerima suntikan vaksin,” ujarnya.
Hazlina turut menyeru kepada seluruh warga daerah Kota Tinggi untuk mendaftar sebagai penerima vaksin kerana ia penting bagi menangani penularan wabak COVID-19 dan orang ramai juga diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
-NI-