Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Sabah Wujudkan 195 PPV COVID-19

By 4 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 195 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah diwujudkan di seluruh Sabah termasuk di kawasan pedalaman bagi mencapai 95 peratus imuniti berkelompok.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, berkata pemberian vaksin ini amat penting bagi menangani penularan jangkitan COVID-19 dalam masyarakat.

“Kita berharap program imunisasi ini berjalan dengan baik dan sampai ke pelusuk negeri bagi membolehkan semua rakyat menerima suntikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Serbaguna Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini hari ini.

Pada masa yang sama beliau meminta masyarakat umum agar tidak perlu bimbang dan menepis khabar negatif mengenai vaksin berkenaan.

Hajiji menerima suntikan vaksin, di sini.

Hajiji menerima suntikan vaksin, di sini.

“Rakyat Sabah tidak perlu bimbang dengan keselamatan vaksin ini dan jangan percaya dengan cerita-cerita negatif berkaitan vaksin yang kita terima.

“Kita berharap program imunisasi ini akan berjalan lancar sehingga kita dapat menyuntik keseluruhan rakyat Sabah untuk kita menangani jangkitan COVID-19,” jelasnya.

Hajiji merupakan individu pertama di Sabah menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNtech pada hari ini.

Turut menerima vaksin sama ialah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali dan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Christina Rundi bersama 57 penerima vaksin lain termasuk 48 petugas barisan hadapan.

Hadir sama menerima suntikan vaksin COVID-19, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Ir Shahelmey Yahya serta Panglima Divisyen Kelima Infantri Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid.

-SH

Tinggalkan komen anda