Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Bukit Panau di daerah sini menjadi lokasi kunjungan untuk beriadah serta aktiviti pendakian.
Melihat kepada aktiviti yang semakin digemari ini, Noraini Jaya, 40 dari Kampung Simpang 4, Bukit Mas mengambil kesempatan ini menambah pendapatan keluarga dengan menjaja di puncak bukit tersebut.
“Saya dan suami seawal pagi sudah membawa makan dan minuman ke puncak bukit ini untuk dijual kepada pendaki yang memulakan pendakian sesudah solat Subuh.
“Biasanya kami membawa minuman dan makanan untuk dijual dan kebiasaannya pada hari minggu dan hari cuti ramai pendaki akan berkunjung dan barangan jualan lebih cepat habis,” ujar ibu enam orang anak ini.
Menurut Noraini, jika hari hujan atau cuaca tidak mengizinkan mereka tidak berniaga kerana tiada sebarang aktiviti pendakian dibenarkan.
“Pendaki sanggup mendaki awal pagi untuk menikmati suasana keindahan cahaya matahari terbit serta panorama suasana kabus menyelubungi kawasan sekitar,” katanya.
Sementara itu seorang peniaga yang ditemui di kaki bukit Robiah Daud, 60, dari Kampung Galok Pasir Mas beliau dan keluarga datang ke bukit tersebut untuk berniaga bagi menambahkan pendapatan.
“Saya bersama anak datang sejak awal pagi berniaga godang, makanan dan minuman kerana minat dan dapat meringankan beban suami.
“Kawasan sekitar Bukit Panau perlu dimajukan dengan mengekalkan keaslian alam semula jadinya kerana ini antara salah satu taman warisan dan khazanah negara yang wajar dikekalkan bagi tatapan generasi akan datang,” katanya.
Bagi pencinta alam semulajadi, Shaharudin Husin, 50, dari Kampung Belimbing, di sini menyatakan bahawa beliau mendaki untuk melihat keindahan dan keunikan alam semulajadi ciptaan tuhan dari pandangan atas bukit.
“Saya suka mendaki untuk melihat dunia yang indah ciptaan tuhan dari puncak bukit, ada kesempatan atau hari cuti saya mendaki sebagai riadah menyihatkan badan,” katanya.
Bukit yang berketinggian 255 meter ini berjarak sejauh 10 kilometer daripada jalan utama Tanah Merah ke Pasir Mas dan pernah menjadi panduan bagi pedagang yang menyusuri Sungai Kelantan suatu masa dahulu.
-RI