Laporan/foto: Mohd Iswadi Abdul Hamid (Melaka)
MELAKA, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) dilancarkan bagi mendapatkan maklum balas orang awam dalam setiap rancangan pembangunan kerajaan untuk rakyat negeri.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata selain daripada memperkenalkan dasar dan inisiatif untuk dilaksanakan, pelan ini membuka maklum balas daripada orang ramai, demi memastikan keberkesanan sesuatu dasar yang dilaksanakan secara menyeluruh.
“PSMJ 2035 ini adalah dokumen rujukan utama oleh semua agensi yang perlu diterjemah menjadi pelan tindakan konkrit dan matlamat utama prestasi bagi mencapai kecemerlangan pentadbiran untuk setiap agensi di negeri ini.
“PSMJ 2035 ini akan menjadi detik bersejarah, untuk kita melakar hala tuju perjalanan jauh, atas kanvas baharu, yang bakal membawa Melaka menuju masa depan yang cerah lagi gemilang,” katanya merasmikan pelancaran pelan tersebut di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini baru-baru ini.
Menurut Sulaiman, Penghasilan PSMJ 2035 merupakan perancangan tindakan strategik, holistik dan komprehensif, yang dirangka dan direncana untuk tempoh 15 tahun akan datang.
“Pelan ini merupakan kesinambungan dasar dan wawasan daripada para pemimpin terdahulu, menuju kegemilangan masa depan dan ia adalah untuk mempersiapkan Melaka menghadapi zaman perubahan, mendepani era industri 4.0, ekonomi digital dan masyarakat 5.0 serta tuntutan teknologi zaman mendatang.
“Hala tuju kerajaan negeri adalah berasaskan kepada kerangka komprehensif Melaka Rumahku yang di dalamnya terkandung visi, misi, pemboleh daya dan slogan serta dilingkari dengan akar tunjang kecemerlangan duniawi serta ukhrawi,” ujar beliau.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Hasim Hasan.
-KN