
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Politeknik Ibrahim Sultan (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Proses pendaftaran pelajar baharu Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) bagi kemasukan sesi Mac 2021 berjalan lancar dan teratur pada hari ini.
Menurut Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PIS Noor Azmi Asmawi, proses pendaftaran pelajar kali ini telah disusun mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pendaftaran pelajar baharu sesi Mac 2021 dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Pihak PIS sentiasa mentikberatkan pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup separuh muka, penjarakan sosial dan juga lain-lain perkara bagi mengekang penularan wabak ini.
“Selain itu, kami juga menyediakan stesen atau kaunter saringan kesihatan bagi memastikan pelajar-pelajar baharu yang mendaftar hari ini dalam keadaan sihat serta tidak dijangkiti virus merbahaya ini,” katanya ketika ditemui di Politeknik Ibrahim Sultan, di sini hari ini.
Tambah Azmi, proses pendaftaran pelajar baharu ini turut dibantu oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa serta sukarelawan pelajar yang ditugaskan untuk membantu unit keselamatan PIS bagi memastikan SOP dipatuhi sepanjang masa.
Dalam pada itu, Yayasan Pasir Gudang yang diwakili oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Nazry Tangis dan Madyasir Ahmad Basir turut menyerahkan alat pelindung muka kepada petugas pendaftaran untuk digunakan sepanjang proses pendaftaran berlangsung.
Turut hadir, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PIS Abu Bakar Abdul Hamid.
-NI-