Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Petugas Barisan Hadapan Cameron Positif Vaksin

By 3 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Arief/Muhammad Hariz (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands (PKDCH) telah memulakan Program Imunisasi Vaksin COVID-19 fasa pertama pada Jumaat lalu yang melibatkan petugas barisan hadapan iaitu kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Pegawai Perubatan PKDCH Doktor Yu Kong Siong, program imunisasi yang diadakan di perkarangan PKDCH ini berjalan lancar dengan persediaan awal dan rapi oleh Pejabat Kesihatan di sini dengan menubuhkan enam stesen utama.

“Setelah disuntik, mereka akan mendapatkan tarikh janji temu bagi suntikan dos kedua.

“Selesai menerima tarikh temujanji, penerima vaksin akan dipantau selama 30 minit di stesen pemerhatian sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya yang ditemui di pejabat kesihatan tersebut, di sini baru-baru ini.

Proses suntikan Vaksin COVID-19 dilakukan mengikut SOP yang ketat.

Proses suntikan Vaksin COVID-19 dilakukan mengikut SOP yang ketat.

Menurut Doktor Yu, program imunisasi ini juga mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan iaitu penerima vaksin yang hadir diwajibkan terlebih dahulu untuk memeriksa suhu badan mereka, memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal antara satu sama lain dan beberapa langkah lagi diambil bagi memastikan bukan sahaja kejayaan program ini tetapi juga memastikan norma baharu diterapkan sepanjang program berlangsung.

Salah seorang penjawat awam yang ditemui iaitu Inspektor Ketenteraman Awam (KA) Muhamad Sabudin Harun, berkata semua SOP seperti imbasan kod QR MySejahtera, penjarakan fizikal telah dipatuhi sebaik mungkin oleh penerima-penerima vaksin.

“Perkara ini secara tidak langsung memudahkan proses penerimaan vaksin.

“Suntikan vaksin tidaklah menakutkan seperti yang digembar-gemburkan, malahan saya yakin dengan vaksin ini kerana kadar peratusan keberkesanannya yang mencecah sehingga 95 peratus berbanding vaksin COVID-19 yang lain,” ujarnya yang juga merupakan penerima vaksin terawal di sini.

-KN

Tinggalkan komen anda