Skip to main content
Berita TempatanSabah

ESSCOM Peruntuk RM100,000 Naik Taraf Gelanggang, Dewan SMK Sepagaya

By 19 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Juslie Bacle (Lahad Datu)

LAHAD DATU, 27 Jul (MalaysiaAktif)Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) memperuntukkan RM100,000 bagi melaksanakan dua projek naik taraf di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepagaya tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata peruntukan itu membabitkan kerja penyelenggaraan Gelanggang Serbaguna Sekolah dan Dewan Terbuka Abdullah Munshi di bawah Program Sekolah Angkat MADANI 2026.

Jelasnya, projek berkenaan juga satu bentuk komitmen pihak ESSCOM dalam usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada warga sekolah.

“Program itu mencerminkan komitmen ESSCOM memperkukuh keselamatan negara melalui pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja menumpukan aspek penguatkuasaan dan kawalan sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), malah memberi penekanan kepada pembangunan modal insan.

“Keamanan yang berkekalan tidak hanya dibina melalui aset keselamatan yang moden, tetapi juga melalui masyarakat yang berilmu, berintegriti, berjati diri serta menghargai keamanan yang dinikmati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Sekolah Angkat MADANI ESSCOM dan Karnival Pendidikan Kerjaya, Inovasi dan STEM (KERINOV) Peringkat Negeri Sabah di SMK Sepagaya, baru-baru ini.

Jamaluddin berkata, ESSCOM akan melaksanakan pelbagai program bersama pihak sekolah meliputi pembangunan kepimpinan murid, pendidikan keselamatan, pemupukan semangat kenegaraan, kesiapsiagaan menghadapi cabaran, kesukarelawanan, inovasi dan pemerkasaan sahsiah.

“Kejayaan Program Sekolah Angkat MADANI tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai projek fizikal semata-mata, sebaliknya melalui hubungan jangka panjang antara ESSCOM dan warga sekolah dalam melahirkan generasi yang menghargai keamanan serta bertanggungjawab terhadap kesejahteraan negara,” ujarnya.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron.

Pada majlis sama turut berlangsung Karnival Pendidikan Kerjaya, Inovasi dan STEM (KERINOV) Peringkat Negeri Sabah 2026 yang menghimpunkan penyertaan sekolah dari seluruh Sabah sebagai platform memupuk budaya inovasi, memperkasa pendidikan STEM serta memberi pendedahan kepada murid mengenai laluan kerjaya masa depan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda