
Laporan/foto: Nurulaini Mohd Kasran (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 22 Mac ( Malaysiaaktif ) – Seramai 704 pelajar daripada 27 buah sekolah rendah dan tujuh buah sekolah menengah di Parlimen Kota Tinggi menerima sumbangan barangan keperluan sekolah.
Menurut Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Halimah Mohamed Sadique, sumbangan itu bertujuan bagi meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan selain menyuntik semangat para pelajar untuk menghadiri sesi persekolahan.
“Sumbangan yang diberikan merangkumi barangan keperluan sekolah berupa pakaian seragam, beg dan juga kasut sekolah untuk para pelajar tahun satu sehingga tingkatan enam.
“Sehingga hari ini, seramai 2,000 orang pelajar dalam Parlimen Kota Tinggi telah menerima sumbangan ini dan saya amat berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan majlis ini bagi membantu para pelajar yang memerlukannya,” katanya yang ditemui dalam Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan kepada Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan kit permulaan Tabika Perpaduan Kota Tinggi di Dewan Muafakat Taman Pasak Indah, di sini semalam.
Menurut Halimah, Biro Kecemerlangan Pendidikan telah ditubuhkan di parlimen ini bagi memastikan para pelajar dapat menimba ilmu dalam suasana yang selesa dan kondusif bagi menjamin kecemerlangan mereka.
“Sektor pendidikan merupakan satu agenda yang sangat penting dalam usaha untuk membentuk masa depan yang lebih cemerlang anak- anak.
“Dengan penubuhan biro ini, para pelajar akan dapat belajar dalam keadaan yang lebih selesa apabila setiap sekolah mempunyai kemudahan yang diperlukan sesuai dengan proses pendigitalan yang sedang berlaku dalam pendidikan pada masa kini, pihak sekolah juga perlu menyediakan suasana yang sihat selain daripada kepakaran dan kemahiran para pendidik yang mampu mendidik anak-anak dengan baik,” ujarnya.
Pada majlis ini turut diadakan pelancaran Kit Permulaan Tabika Perpaduan berupa barangan kegunaan kanak-kanak di dalam kelas dan ianya diberikan secara percuma.
“Kit permulaan ini mempunyai dua pasang pakaian seragam dan beg sekolah yang diberikan secara percuma kepada setiap kanak-kanak Tabika Perpaduan pada tahun ini.
“Sebanyak 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara akan menerima kit ini,” ujarnya lagi.
Halimah turut memaklumkan pada tahun ini Kementerian Perpaduan Negara juga telah membuat pembaharuan dengan penjenamaan semula Tabika Perpaduan antaranya ialah logo khas yang digunakan oleh Tabika Perpaduan serta seragam baharu kanak-kanak Tabika Perpaduan yang berwarna ungu.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan Zon 6 Taman Sri Saujana Mohd Irwan Bunawan, 40, yang ditemui berterima kasih kepada Menteri Perpaduan Negara atas pelancaran kit ini yang dilihat dapat membantu ibu bapa dan para pelajar.
“Kit yang diberikan secara percuma ini bukan sahaja akan membantu meringankan beban ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke Tabika Perpaduan tetapi juga dapat mengurangkan kos perbelanjaan membeli barangan keperluan sekolah.
“Saya berharap bantuan seumpama ini akan diberikan secara berterusan pada masa-masa akan datang,” katanya.
Turut berlangsung, penyerahan sijil kepada tiga buah kawasan rukun tetangga (KRT) baharu iaitu KRT Taman Pasak Indah, KRT Kampung Felda Bukit Easter dan KRT Nilam Bandar Mas.
-NI-