Laporan/foto: Nik Faizul Nik Rahmat (Jeli)
JELI, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Pusat Komuniti Desa (PKD) Kampung Bukit Jering menggesa penduduk setempat agar segera tampil mendaftarkan diri dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Pengurus Pusat Komuniti Desa Nadia Mohamad, 30, berkata program ini merupakan inisiatif PKD agar komuniti setempat tampil mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut.
“Kaedah ini diharap mampu mengurangkan keciciran daripada divaksinkan terutama bagi warga emas di desa-desa.
“Melalui kaedah ini juga diharap membantu hasrat kerajaan agar semua individu berumur 18 tahun ke atas divaksin akan berjaya tanpa ada yang tercicir,” katanya yang ditemui sempena Hari Pendaftaran Vaksin COVID-19 dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Jeli di pusat tersebut, di sini baru-baru ini.
Nordin Jusuh, 64, yang menghadapi masalah sakit tulang belakang bersyukur kerana agensi kerajaan turun ke kampung untuk pendaftaran vaksin.
“Pendaftaran Vaksin di PKD begini sangat membantu warga emas yang tidak mahir dengan penggunaan kemudahan telefon pintar,” katanya.
Menurut Imam Tua Masjid Kampung Bukit Jering Muhamad Noor, inisiatif PKD menyediakan perkhidmatan pendaftaran vaksin adalah amat sesuai bagi mengalakkan masyarakat mendaftar dan tidak tercicir divaksinkan.
“Supaya dapat dibendung penularan wabak Pendemik COVID-19 maka kerjasama semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaiannya,” jelasnya.
Senada dengan Muhamad Noor, Abdullah Hashim, 78, salah seorang warga emas yang terlibat bersyukur kerana PKD dan Pejabat Penerangan Daerah Jeli turun padang membuat hebahan bagi mengajak masyarakat membuat pendaftaran vaksin.
-RI