Foto: RTM
PUTRAJAYA, 4 April (Malaysiaaktif) – Bersiaran 75 minit tanpa henti, Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi menampilkan ‘Konsert Kita RTM Gemilang Selamanya’ bersempena sambutan ulang tahunnya yang ke-75 dan Orkestra RTM ke-60.
Konsert yang bermula 9 malam itu dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Datuk Ruzain Idris.
Ia disiarkan secara langsung di TV2 dan Facebook RTM.
Menurut kenyataan Jabatan Penyiaran Malaysia, penganjuran konsert itu sebagai antara medium komunikasi yang memberikan impak berkesan dalam meraikan sambutan berganda dan bermakna kepada seluruh warga RTM.
Seramai 48 pemuzik Orkestra RTM di bawah pimpinan muzik Datuk Mokhzani Ismail dan Jaffar Abdul Rahman (Jari) terlibat menjayakan konsert tersebut.
Antara artis yang membuat persembahan adalah Datuk Jamal Abdillah, Misha Omar, Jaclyn Victor, Azharina Azhar, Ramlah Ram, Rohana Jalil, Haqiem Rusli, Floor 88 dan Aspalela Abdullah.
— BERNAMA