
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Alor Setar)
ALOR SETAR, 20 April (Malaysiaaktif) – Seramai 359 penduduk setempat hadir untuk menerima suntikan vaksin terdiri daripada golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan golongan berisiko sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), di sini kelmarin.
Menurut seorang penerima warga emas yang ditemui pemberita, Sharifah Redzoah Syed Mohamed, 72, dia pada mulanya berdebar namun berasa lega apabila telah selesai menerima suntikan dan tidak ada rasa sakit di tempat suntikan.
“Apa yang mendorong saya adalah kita kena positifkan diri bagi mencegah penyakit ini dari terus merebak,” katanya.
Seorang lagi penerima vaksin iaitu Dr Mohamad Gani, 83, berkata vaksinani ini sangat penting dan setiap orang harus mengambil vaksin tersebut untuk melindungi diri kita dan orang lain dari pandemik COVID -19 ini.
“Insya-Allah, jika kita telah selesai menerima dua dos dan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan, kita dapat membantu membendung penularan pandemik dan mengelak berisiko dijangkiti virus COVID-19. ,” katanya ketika ditemu bual kemarin.
Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Daerah Kota Setar merangkap Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata penerima vaksin setakat kemarin adalah sebanyak 359 orang.
“Merujuk kepada rekod pendaftaran vaksinasi, kira-kira 30% daripada keseluruhan penduduk berusia 18 tahun ke atas Alor Setar telah membuat pendaftaran bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua,” katanya.
Menurutnya, tahap kesedaran masih rendah dalam kalangan masyarakat awam itu sendiri dan ada yang masih tidak mempunyai aplikasi MySejahtera. Jadi saya bersama Jabatan Penerangan turun padang membantu mereka mendaftar secara manual untuk mendapatkan suntikan ini.
Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kota Setar, Dr Aren Sinedeh Lemin memaklumkan, seramai 400 individu disasarkan menerima vaksin di Stadium Sultan Abdul Halim setiap hari bagi PICK fasa kedua ini.
Pusat Pemberian Vaksin Stadium Sultan Abdul Halim mempunyai kapasiti sehingga 1920 orang dan kita akan menerima kehadiran penerima suntikan secara berperingkat untuk keempat – empat hari sepanjang berlangsungnya PICK fasa kedua.
~RJ~