Laporan/foto: Zulkifli Othman/Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN, 20 April (Malaysiaaktif)-Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu Dr. Azman Ibrahim, berbangga apabila industri Melon Manis Terengganu (MMT) menggunakan Teknologi Digital Automasi.
Katanya, penggunaan teknologi dalam penanaman MMT secara kaedah hidroponik ini membolehkan hasil yang diperolehi adalah berkualiti yang dipelopori oleh Terengganu Agrotech Development Corp (TADC), anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu.
“Penanaman MMT di sini memberi peluang pekerjaan kepada peserta Rimbunan Kasih Rantau Abang walaupun tidak sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Pelancaran Teknologi Digital Automation Bagi Penanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di Ladang Rimbunan Kasih Rantau Abang, di sini semalam.
Menurut Pengurus Besar TADC, Azhar @Wahab Jusoh, penggunaan teknologi dalam penanaman MMT secara kaedah hidroponik ini membolehkan hasil yang berkualiti diperolehi.
“Pembungkusan yang baik antara daya tarikan kepada pembeli dan pasaran MMT dapat dipasarkan dengan lebih meluas.
“Teknologi yang digunakan dan diperluaskan merupakan campuran baja dan kawalan pH air dilakukan dengan lebih tepat, menjimatkan ruang serta dalam masa yang sama meminimakan penggunaan tenaga kerja,” katanya.
Kamarulzaman Abd. Rahman, 56, berkata MMT boleh menjadi daya tarikan kepada peminat melon yang ramai dan kini mengamalkan gaya hidup serta pemakanan yang sihat.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Mohd Yunus Mohd Isa, 32, berkata peluang kerja yang ditawarkan kepada sebahagian peserta Rimbunan Kasih Rantau Abang adalah amat baik.
“MMT ini mempunyai rasa kemanisan dan keunikan tersendiri serta warna yang menarik boleh menjadi salah satu sajian pada bulan Ramadan ini ” kata Halim Mamat, 45.
Ladang Rimbunan Rantau Abang Kasih telah dibangunkan semula setelah operasi dihentikan pada April 2017.
-ii-