Laporan/foto: Nur Shahrina Amran (Tangkak)
TANGKAK, 20 April (Malaysiaaktif) – Fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang mengutamakan warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik telah bermula semalam.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, seramai 9,916 penduduk berumur 75 tahun ke atas dijadualkan menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula pada 19 April 2021.
“Mereka akan menerima suntikan itu di 30 pusat pemberian vaksin di seluruh negara iaitu masing-masing lima di Kedah, Pahang dan Pulau Pinang, empat di Sabah, tiga di Terengganu dan Melaka, dua di Negeri Sembilan dan satu di Perlis, Sarawak serta Labuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Malaysia Prihatin Vaksinasi COVID-19 “Lindungi Diri, Lindungi Semua” Peringkat Daerah Tangkak di Masjid Jamek Tangkak Johor, di sini semalam.
Tambah beliau, pelbagai usaha dan strategi telah dilaksanakan kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 di negara ini.
“Antaranya, dengan melaksanakan ordinan darurat, Akta 446 (Standard Minimum Perumahan Penginapan Pekerja), memberi penerangan tentang wabak COVID-19, PICK, pematuhan SOP di tempat kerja serta melaksanakan program saringan secara bersasar.
“Selain itu, penggunaan aplikasi MySejahtera juga antara kaedah bagi membantu kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan (KKM), dalam mengawasi penularan wabak COVID-19 di Malaysia,” ujarnya.
Pegawai Daerah Tangkak Shafiei Ahamad dalam ucapannya berkata, seramai 39,346 orang warga Tangkak telah mendaftar sebagai penerima vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa kedua.
“Penghulu dan ketua-ketua kampung sentiasa memainkan peranan dalam mempergiatkan lagi usaha menggalakkan orang ramai mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksinasi ini.
“Saya menyeru masyarakat di sini agar tampil dan mendaftar sebagai penerima vaksin yang mana ia bukan sahaja akan melindungi diri kita tetapi juga ahli keluarga, komuniti dan negara,” ujarnya lagi.
Tambahnya, orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, laman sesawang vaksin COVID-19, talian utama atau terus ke Pejabat Kesihatan dan Klinik Kesihatan yang berhampiran.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr. Aman Rabu, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan (KKM) Suraiya Syed Mohamed.
-NI-