Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Galeri Dato’ Onn Simpan 1001 Khazanah

By 21 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Saipul Nizam Ibrahim/Mazlin Basir (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 21 April (Malaysiaaktif) – Galeri Dato’ Onn yang terletak berhampiran Gunung Soga Batu Pahat ini mempunyai lakaran sejarah yang unik serta kehidupan Dato’ Onn sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat pada waktu itu.

Menurut Penjaga Muzium Mohd Saiful Mohd Nor, 36, artifak serta bahan bacaan yang di sediakan di muzium ini banyak menceritakan perjalanan hidup serta sejarah kehidupan Dato’ Onn semasa menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat yang ketiga pada tahun 1945.

“Koleksi barang-barang antik pada zaman Dato’ Onn juga banyak dipamerkan dalam galeri ini.

“Barangan antik serta artifak lama yang dipamerkan tersebut mempunyai nilai harga yang tinggi pada masa ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini hari ini.

Mohd Saiful menunjukkan gambar keluarga Dato’ Onn yang menjadi sebahagian daripada koleksi galeri ini.

Mohd Saiful menunjukkan gambar keluarga Dato’ Onn yang menjadi sebahagian daripada koleksi galeri ini.

Tambah beliau, galeri ini merupakan ilham Datuk Abdul Ghani Othman semasa menjawat jawatan Menteri Besar Johor dan telah dirasmikan pada 11 September 2012 oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Asiah Md Arif.

“Bangunan ini merupakan rumah kuaters pegawai kerajaan sejak tahun 1938, yang berkeluasan 4487 kaki persegi dan dibina dengan kos sebanyak RM15,500 pada waktu itu,” ujarnya.

Saiful berkata di sini juga, para pengunjung dapat mengetahui serta mempelajari cara kehidupan masyarakat pada zaman dahulu di samping memupuk semangat patriotisma yang tinggi terhadap negara.

“Galeri ini juga boleh dijadikan tempat rujukan kepada para pelajar sekolah mahupun pelajar universiti yang sedang mencari maklumat berkaitan dengan pembelajaran serta kajian.

“Kebanyakan pengunjung yang datang ke sini terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan masyarakat termasuk para pelancong dari luar negara yang teruja untuk melihat barang-barang antik pada zaman itu,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengajak orang ramai untuk berkunjung ke galeri ini bagi menghayati pelbagai kisah dan sejarah menarik di sebalik nama Dato’ Onn.

Galeri ini dibuka kepada orang ramai pada hari Sabtu hingga Khamis dari pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang dan ditutup pada hari Jumaat.

-NI-

Tinggalkan komen anda