Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 21 April (Malaysiaaktif) – Tenaga Nasional Bhd (TNB) memberitahu Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berpuas hati dengan usahanya mengukuhkan perbekalan elektrik negara dalam strategi berterusan syarikat utiliti negara itu meningkatkan perkhidmatan dan memperkasa pengguna.
TNB dalam satu kenyataan hari ini berkata Menteri itu juga mahukan supaya TNB meneruskan usaha menurunkan Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) ke paras lebih rendah selain meningkatkan kualiti bekalan elektik.
Menurutnya Shamsul berkata demikian pada sesi lawatan kerja ke TNB di Kompleks Ibu Pejabat TNB di Bangsar, semalam.
“Shamsul turut memuji pencapaian TNB apabila SAIDI di Semenanjung menurun secara konsisten di bawah paras 60 minit sejak 2014 sehingga mencapai 44.95 minit pada tahun lepas,” menurut kenyataan itu.
Katanya walaupun SAIDI yang merupakan ukuran tempoh gangguan bekalan elektrik ini antara terendah di negara-negara Asia Tenggara dan sebilangan negara membangun, beliau (Shamsul) mahukan supaya TNB meneruskan usaha menurunkannya lagi.
Sepanjang tiga jam sesi lawatan, Dr Shamsul Anuar diberikan taklimat mengenai pemodenan sistem Rangkaian Pembahagian TNB yang mengambil kira keperluan rakyat, rancangan pelaburan modal TNB untuk tempoh 2022 hingga 2024, serta taklimat ringkas mengenai Kampus Ibu Pejabat baru TNB yang sedang dalam pembangunan.
Sementara itu, Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam ucapannya di sesi lawatan itu berkata beliau yakin TNB dengan kekuatan lebih 35,000 warga kerja di bawah pimpinan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir. Baharin Din mampu untuk terus menerangi negara selain melaksanakan program yang dirancang Kerajaan.
“Antaranya, meningkatkan lagi kualiti bekalan elektrik dan peranan tenaga solar serta meningkatkan peluang pekerjaan melalui program latihan semula dan peningkatan kepakaran bagi memenuhi keperluan bekalan industri tenaga,” menurut kenyataan itu.
“Lebih daripada 15,000 orang akan dilatih dalam program berkenaan menjelang 2024,” tambahnya.
— BERNAMA