Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis/Muhamad Sufe Fudin Sudin (Langkawi)
LANGKAWI, 2 April (Malaysiaaktif) – Kewujudan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) yang berfungsi sebagai ejen komunikasi strategik kerajaan dalam menyalurkan maklumat serta hiburan kepada masyarakat selama lebih dari tujuh dekad berjaya membuktikan keunggulan agensi tersebut apabila masih lagi dan sentiasa relevan seiring dengan perubahan perkembangan teknologi semasa dan selera masyarakat.
Speaker Dewan Undangan Negeri Juhari Bulat, berkata fungsi ini telah berjaya dilaksanakan oleh RTM dalam tempoh 75 tahun ini.
“Saya percaya fungsi dan perkhidmatan ini kekal relevan walaupun senario, ekologi dan teknologi penyiaran telah berkembang dengan pesatnya.
“Pelbagai pelaporan peristiwa penting dan bersejarah negara telah dirakam, dimaklum dan disalur oleh RTM ke seluruh pelosok negeri, dalam dan luar negara,” katanya yang mewakili Menteri Besar dalam Sambutan Ulang Tahun RTM ke-75, Peringkat Daerah Langkawi dan Logo Baharu Langkawifm di sebuah hotel, di sini semalam.
Pengarah Jabatan Penyiaran Langkawi Zulkefli Mohd, berkata pada bulan April ini, Jabatan Penyiaran Langkawi atau lebih dikenali sebagai Langkawifm menerima hadiah yang amat bermakna iaitu bakal mempunyai bangunan sendiri di pulau tersebut.
“Ianya akan menjadi mercu tanda buat warga Langkawi dan saya berharap dengan adanya bangunan itu maka RTM akan lebih maju dan terus bergerak ke hadapan.
“Bangunan itu nanti bukan sahaja sebagai pusat penyiaran tapi akan diperkasakan lagi dengan aktiviti-aktivti yang sesuai dan seiring dengan slogan RTM iaitu ‘Teman Setia Anda’,” katanya.
~RJ~