Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

6,493 Kes Baharu, Selangor Tertinggi

By 22 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Malaysiaaktif) –Kes baharu COVID-19 di Malaysia masih melepasi paras angka 6,000 apabila merekodkan 6,493 kes semalam, dengan 2,163 daripadanya dilaporkan di Selangor.

Jumlah itu menjadikan Selangor mencatatkan kes harian tertinggi diikuti Kuala Lumpur dengan 641 kes, Sarawak (612), Kelantan (467), Kedah (434), Johor (406), Perak (382), Negeri Sembilan (370), Pulau Pinang (302), Melaka (165), Pahang (161) dan Sabah (144).

Terengganu pula merekodkan 139 kes disusuli Labuan (84), Putrajaya (20) dan Perlis (tiga).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasminya memaklumkan keseluruhan kes COVID-19 dalam negara kini berjumlah 498,795.

Sementara itu dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 50 kes kematian melibatkan 22 kes di Selangor, manakala Sarawak (lapan), Johor (lima), Kedah (empat), Kuala Lumpur (tiga), masing-masing dua kes di Negeri Sembilan, Perak serta Melaka, dan masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan Kelantan.

Beliau berkata kes kematian melibatkan seorang individu bukan warganegara berumur 55 tahun, dan 49 warga tempatan berusia dalam lingkungan 33 hingga 90 tahun, menjadikan jumlah kumulatif kematian kini menjangkau 2,149.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan kes baharu melibatkan 6,491 kes penularan tempatan dan hanya dua kes import menjadikan kes aktif kini 52,106 manakala 4,508 kes sembuh dilaporkan.

“Jumlah individu yang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) setakat ini ialah seramai 643 kes dengan 363 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata terdapat 18 kluster baharu dikesan hari ini melibatkan 10 kluster di tempat kerja, lima kluster keagamaan dan tiga kluster komuniti, menjadikan jumlah kluster aktif kini 529 kluster.

Dr Noor Hisham memaklumkan kluster tempat kerja melibatkan Kluster Persiaran Perbandaran dan Kluster Industri Balakong Tiga di Selangor; Kluster Jalan Wan Kadir (Kuala Lumpur dan Selangor); Kluster Jalan Simpang Tiga (Sarawak); Kluster Jalan Datin Halimah dan Kluster Jalan Mengkibol (Johor).

Kawasan lain terlibat dengan kluster tempat kerja adalah Kluster Jalan Selat di Perak; Kluster Industri Senawang (Negeri Sembilan); Kluster Sungai Keluang 2 (Pulau Pinang) dan Kluster Industri Kelemak (Melaka).

Selain itu, beliau memaklumkan kluster keagamaan melibatkan Kluster Jalan Kota Raja dan Kluster Kampung Mujahidin di Selangor; Kluster Sri Penara dan Taman Setiawangsa (Kuala Lumpur) serta Kluster Jalan Surau Stulang (Johor).

Kluster komuniti pula membabitkan Kluster Susur Larut di Perak; Kluster Jalan Tanjung Minyak (Melaka) dan Kluster Simpang Sahari (Labuan).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda