
Laporan/foto: Krisha Selladurai (Pontian)/Jurufoto Ahli Parlimen Tanjung Piai
PONTIAN, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 160 orang imam dan pembantu imam telah menerima sumbangan jubah sempena bulan Ramadan pada Program Prihatin Rakyat Parlimen Tanjung Piai, baru-baru ini.
Menurut Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Sri Dr. Wee Jeck Seng, sumbangan ini merupakan kerjasama dengan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) yang melibatkan wakil penerima daripada 42 masjid dan 74 surau di kawasan parlimen ini.
“Selain itu, setiap masjid juga akan menerima sumbangan sebanyak RM1,000 manakala surau pula sebanyak RM500.
“Sumbangan ini diberi untuk pelaksanaan aktiviti sepanjang bulan Ramadan di parlimen ini,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjung Piai, di sini.
Tambah beliau, pihaknya turut merancang untuk memberi sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada golongan B40 dan yang terkesan akibat pandemik COVID-19, melibatkan 6,500 keluarga dalam kawasan parlimen ini yang mana mereka boleh hadir ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjung Piai untuk mengambilnya.
“Pada bulan Jun nanti pula kita akan melancarkan program tuisyen untuk para pelajar tingkatan lima khususnya anak-anak di Parlimen Tanjung Piai bagi persiapan mereka untuk menghadapi peperikasaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ini merupakan satu agenda bagi memastikan generasi muda sentiasa maju ke hadapan terutama dalam pendidikan.
“Saya sentiasa menekankan betapa pentingnya pendidikan kepada anak-anak muda di sini dan ini juga merupakan perjuangan saya untuk melihat perubahan rakyat dari golongan B40 ke M40 pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat di sekitar parlimen ini untuk tampil dan mendaftar sebagai penerima vaksin bagi menjayakannya objektif imuniti kelompok demi perlindungan seluruh rakyat Malaysia daripada virus COVID-19.
Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia MPOB Dr. Ahmad Parveez, Penasihat Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia MARGMA Ong Pang Lim dan Penghulu-penghulu Mukim.
-NI-