
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/IPD Gombak
GOMBAK, 20 Mei (Malaysiaaktif) – Dua remaja ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian melempar mercun ke arah anggota polis di Sekatan Jalan Raya (SJR) berhampiran Plaza Tol Gombak di sini.
Kejadian pukul 10.30 malam pada Selasa lalu, menyaksikan remaja lelaki masing-masing berusia 16 tahun yang masih bersekolah dan 20 tahun itu sebelumnya dilihat menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata suspek berhenti di tepi jalan berhampiran SJR tersebut sementara seorang daripadanya bertindak membakar mercun lalu melemparkannya ke arah anggota bertugas sebelum melarikan diri.
“Pasukan polis telah bertindak mengejar suspek dan berjaya menangkap mereka tidak jauh dari SJR.
“Pemeriksaan telah menemui sebungkus plastik lutsinar yang mengandungi 14 biji mercun bola bersama satu pemetik api,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, siasatan mendapati salah suspek bertindak membakar dan melempar mercun bola ke arah anggota polis di SJR sekadar suka-suka dan tanpa niat.
“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan telah dibenarkan direman selama tiga hari hingga 21 Mei ini untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan keputusan ujian saringan air kencing mereka juga negatif,” jelasnya.
-RI