
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Jumlah kes baharu harian COVID-19 semalam berkurangan sedikit apabila mencatatkan 7,452 kes berbanding 7,748 kes kelmarin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam perkongsian di laman sosial Twitter Dr Noor Hisham berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Malaysia setakat semalam ialah 610,574 kes.
Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 2,509 kes diikuti Kuala Lumpur (678), Negeri Sembilan (843), Sarawak (651), Johor (412), Pulau Pinang (370), Kelantan (312), Pahang (286), Kedah (263) dan Perak (252).
Melaka pula mencatatkan 206 kes, Labuan (205), Terengganu (190), Putrajaya (12) manakala Perlis sebanyak empat kes.
Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataan media pula memaklumkan daripada jumlah kes baharu itu, lapan adalah kes import manakala 7,444 melibatkan penularan dalam negara.
Selain itu, katanya sebanyak 6,105 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah kumulatif pulih 521,676 kes manakala kes aktif kini 85,607.
Jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 3,291 selepas 109 kematian yang dilaporkan melibatkan mangsa dalam lingkungan umur 27 hingga 98 tahun.
Beliau juga memaklumkan sebanyak 886 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 446 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham berkata 24 kluster baharu dikesan dengan 17 kluster membabitkan penularan di tempat kerja, lima melibatkan komuniti serta masing-masing satu melibatkan kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan tinggi.
Kluster tempat kerja direkodkan ialah Jalan Persiaran 67, Jalan Molek Satu, Jalan Johor dan Jalan Perak Industri di Johor; Lebuh Raja Lumu, Kilometer Dua Belas dan Jalan Changkat Permata (Selangor); Jalan Kampung Yoh dan Lubok Nitik (Sarawak); Ladang Bukit Ibam dan Industri Mentakab (Pahang).
Selain itu, kluster Industri Jalan Bunga Tanjung Tiga dan Jalan Emas Satu Nilai di Negeri Sembilan; Lorong Perusahaan Maju Enam (Pulau Pinang); Industri Wakaf Tapai (Terengganu); Gambaron (Sabah); dan Jalan Melaka (Kuala Lumpur).
Kluster komuniti pula ialah Banting Sri Aman, Ijus Pengelayan dan Skim B Meradong di Sarawak; Jalan Pahang Taiping (Perak); dan Kampung Blok 31 (Sabah).
Kluster kumpulan berisiko tinggi pula melibatkan Jalan Jaya 2 di Kuala Lumpur dan kluster pendidikan tinggi melibatkan Jalan Perkasa juga di Kuala Lumpur.
— BERNAMA