Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

7,548 Kes Sembuh Tertinggi Dicatatkan, Atasi Kes Baharu 5,271

By 8 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 8 Jun (Malaysiaaktif) –Malaysia merekodkan 7,548 kes sembuh COVID-19 hari ini, angka tertinggi dicatatkan sejak wabak itu melanda negara, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 534,357, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada 3 Jun, negara melaporkan 7,049 kes sembuh daripada virus itu.

Perkembangan hari ini menjadikan jumlah kes sembuh harian mengatasi jumlah kes baharu yang mencatatkan 5,271 kes, iaitu penurunan untuk empat hari berturut-turut.

Menurut Dr Noor Hisham menerusi perkongsian infografik di laman Twitter semalam, jumlah kumulatif kes COVID-19 adalah 622,086 dengan jumlah kes aktif kini 84,269.

Pada masa sama, beliau memaklumkan 82 kematian lagi dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian 3,460 orang, selain 902 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 447 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham memperincikan Selangor mencatat kes harian tertinggi sebanyak 1,374 kes, diikuti Sarawak (703), Negeri Sembilan (571), Kuala Lumpur (455), Johor (355), Kelantan (341), Sabah (336), Labuan (209) dan Kedah (194).

Selain itu, Melaka dengan 178 kes, Perak (177), Pulau Pinang (153), Terengganu (117), Pahang (99), Putrajaya (lapan) dan Perlis (satu).

Dr Noor Hisham menerusi satu kenyataan kemudiannya memaklumkan sebanyak 23 kluster baharu dikesan dengan 16 daripadanya membabitkan penularan di tempat kerja, enam melibatkan komuniti serta satu berkaitan kumpulan berisiko tinggi.

Kluster tempat kerja direkodkan ialah Integrasi Rawang Satu, Jalan Keretapi Lama Klang, Jalan Tujuh Selatan, Jalan SS Enam di Selangor; Jalan Perindustrian Tujuh, Jalan Parit Hulu, Jalan Besar Rengit (Johor) serta Jalan Airport dan Jalan Ilmu (Sarawak).

Selain itu Pedas 2 dan Industri Kampung Gebok di Negeri Sembilan; Hamparan (Sabah); Kampung Gajah Mati (Kelantan); Jalan Walter Granier (Kuala Lumpur); Jalan Burma (Pulau Pinang) dan Dah Ria Jaya (Kedah).

Kluster komuniti pula membabitkan Sungai Durin dan Jalan Masket di Sarawak; Taman Wawasan, Kampung Bolong Baru, Jalan Budi (Sabah) serta Pelandang (Terengganu), sementara kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi dikesan di Johor yang dinamakan Kluster Jalan Keranji.

Menurut Dr Noor Hisham secara keseluruhan jumlah kluster aktif kini 726 manakala 1,635 kluster telah tamat.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda