Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Baharu Menurun kepada 4,611 Kes

By 22 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 terus mencatatkan penurunan semalam apabila sejumlah 4,611 kes direkod berbanding 5,293 kelmarin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi perkongsian di Twitter, beliau berkata perkembangan terbaru itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini ialah 701,019 kes.

Selangor merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,346 kes diikuti Sarawak (682); Perak (453); Negeri Sembilan (437); Johor (314) dan Kuala Lumpur (310).

Selain itu, Kelantan mencatat 219 kes; Melaka (205); Kedah (182); Sabah (166); Labuan (130); Pulau Pinang (84); Pahang (50); Terengganu (18); Putrajaya (15); serta tiada kes baharu yang direkodkan di Perlis.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi satu kenyataan berkata 5,439 kes sembuh dicatatkan semalam dengan kes aktif kini 62,918, manakala 880 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 452 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 69 kes kematian direkodkan semalam melibatkan 24 kes di Selangor, Kuala Lumpur (11), Negeri Sembilan (sembilan), Johor (tujuh), masing-masing empat kes di Kelantan dan Labuan, Kedah (tiga), masing-masing dua kes di Terengganu, Sabah dan Sarawak, serta satu kes di Melaka.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 22 kluster baharu dikesan dengan 14 daripadanya membabitkan penularan di tempat kerja, tujuh kluster komuniti serta satu kluster kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Jalan Tok Jangggut di Kelantan.

Kluster tempat kerja melibatkan Kluster Industri Jalan Bebas Tiga, Industri Jalan Enggang Ampang, Industri Jati Kiri dan Industri Batu Besar di Selangor serta Kluster Tapak Bina Gunung Satu, Perindustrian Sri Plentong, Jalan Pekeliling Industri dan Jalan Bioteknologi Dua di Johor.

Selain itu kluster tempat kerja turut melibatkan Kluster Industri Bukit Tengah dan Lebuh Kurau Tiga di Pulau Pinang; Kluster Jalan Jelai-Rompin (Negeri Sembilan); Kluster Samedra (Sabah); Kluster Jalan Merbok Ayer Keroh (Melaka) dan Kluster Jalan Baru Tatau-Bintulu (Sarawak).

Kluster komuniti pula membabitkan Kluster Kampung Muara Tebas, Kevok, dan Quadruplex Lapan Enam di Sarawak; Kluster Kampung Tiong, Jalan Jeram Pasu dan Taman Rantau Mas di Kelantan; serta Kluster Serudung Baru di Sabah.

— BERNAMA

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda