Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MyCC Pelawa Maklum Balas Awam Kajian Semula Pasaran Sektor Pengangkutan di Malaysia

By 22 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik MyCC

PUTRAJAYA, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mempelawa orang ramai serta pihak berkepentingan untuk mengambil bahagian dalam sesi rundingan awam bagi Kajian Semula Pasaran Sektor Pengangkutan di Malaysia (Ekosistem Logistik Pelabuhan dan Waranti Kenderaan Bermotor).

MyCC dalam satu kenyataan semalam berkata berkata kajian semula pasaran ini dijalankan selaras dengan Seksyen 11 Akta Persaingan 2010, untuk memahami struktur pasaran, menilai aktiviti pasaran sepanjang rantaian bekalan dan menentukan sama ada apa-apa ciri atau gabungan ciri pasaran itu menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan.

Kajian semula pasaran itu menumpukan kepada dua sub sektor pengangkutan iaitu ekosistem logistik pelabuhan yang meliputi proses pengimportan dan pengeksportan barang dan waranti kenderaan bermotor yang merangkumi sekatan waranti yang berkaitan dengan kenderaan penumpang dan komersial.

“Selaras dengan kuasa yang diberikan kepada MyCC, kajian semula pasaran ini juga akan mengkaji secara terperinci struktur kedua-dua sub-sektor pasaran ini, tingkah laku pemain industri, pembekal, dan pengguna yang relevan serta hal-hal lain seperti isu pengawalseliaan dan polisi,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Iskandar Ismail berkata salinan kajian pasaran tersebut boleh didapati di laman sesawang MyCC bermula 18 Jun 2021. Salinan ini boleh dirujuk sehingga 2 Julai 2021.

Beliau berkata sebarang maklum balas atau input boleh dikemukakan melalui laman sesawang MyCC atau menerusi e-mel kepada urus setia di [email protected].

MyCC juga akan mengadakan dua sesi rundingan awam secara maya bagi tujuan yang sama dengan sesi pertama akan berlangsung pada 24 Jun 2021 dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari yang mana MyCC akan mengadakan sesi bagi sektor swasta (pemain industri, persatuan, NGO, dan lain-lain) dan orang awam.

Pihak yang berminat diminta untuk mendaftarkan kehadiran melalui laman sesawang MyCC di www.mycc.gov.my sebelum 23 Jun 2021.

Sesi kedua akan diadakan untuk para pegawai kerajaan pada keesokan harinya pada 25 Jun (Jumaat; 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda