Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeMAPutrajaya

Persidangan Panglima Tentera FPDA Perkukuh Latihan Ketenteraan, Peperangan Konvensional

By 24 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Facebook Angkatan Tentera Malaysia

PUTRAJAYA, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Persidangan Panglima Angkatan Tentera (FDCC) bagi negara-negara Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke-20 yang diadakan semalam, antaranya bertujuan meneruskan dan memperkukuh latihan ketenteraan dalam bidang peperangan konvensional.

Menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Awam Angkatan Tentera Malaysia hari ini, persidangan itu turut menekankan tentang kepentingan FPDA sebagai peraturan pertahanan yang konstruktif dan telus yang juga merupakan sebahagian daripada struktur keselamatan serantau.

“FPDA juga bersetuju untuk meneruskan pembangunan keupayaan peperangan bukan konvensional, selari dengan cabaran keselamatan semasa dan akan datang melalui latihan yang berkaitan dengan ancaman keganasan, bantuan kemanusiaan dan bencana serta keselamatan maritim.

“Selain itu, FPDA juga bersetuju bahawa aspek ketelusan perlu diteruskan melalui program pemerhati yang akan memberi peluang kepada negara-negara serantau memahami setiap pelaksanaan latihan dan aktiviti FPDA. Usaha ini adalah bagi memastikan FPDA kekal relevan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau,” menurut kenyataan itu.

Antara perkara yang dibentangkan pada persidangan itu ialah berkenaan FPDA Exercise Concept Directive 2021 dan perbincangan mengenai rancangan 10 tahun pembangunan FPDA.

Persidangan yang dianjurkan secara bergilir oleh Malaysia dan Singapura itu merupakan forum profesional ketenteraan peringkat tertinggi dalam FPDA yang menyediakan platform untuk Panglima Angkatan Tentera negara-negara FPDA berdialog serta bertukar pendapat mengenai isu-isu berkaitan pembangunan kapasiti dan keselamatan serantau.

Persidangan yang diadakan secara maya itu dipengerusikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang dan dihadiri Panglima Angkatan Tentera Australia Jen Angus Campbell; Panglima Angkatan Tentera New Zealand Air Marshal Kevin Short; Panglima Angkatan Tentera Singapura Lt Jen Melvyn Ong Su Kiat dan Timbalan Panglima Angkatan Tentera United Kingdom Laksamana Sir Tim Fraser.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda