Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

MB, EXCO Sumbang Tiga Bulan Gaji Untuk Tabung Bencana Negeri Johor

By 4 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/ MEDKOM (Johor)

JOHOR BAHRU, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Menteri Besar dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor bersetuju menyumbangkan tiga bulan gaji untuk Tabung Bencana Negeri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar, sumbangan gaji bulan Jun hingga Ogos 2021 tersebut akan digunakan untuk mempertingkatkan keupayaan tahap kesihatan awam negeri ini dalam mendepani dan memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

“Bagi menambah dana dan meningkatkan kapasiti kesihatan awam, saya ingin mengajak wakil-wakil rakyat di negeri ini untuk bersama-sama menyumbang sebahagian daripada elaun yang diterima ke Tabung Bencana Negeri Johor bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Saya juga menyeru pihak swasta, korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan individu yang prihatin untuk menyumbang ke dalam tabung berkenaan bagi membantu dan memberi manfaat kepada golongan sasar yang memerlukannya,” menurut kenyataan tersebut.

Sejak ditubuhkan pada tahun lalu berikutan penularan COVID-19, Tabung Bencana Negeri Johor sudah menerima sebanyak RM44.83 juta sumbangan dalam bentuk wang tunai dan peralatan daripada pelbagai pihak yang mana sehingga kini sebanyak RM41.65 juta sumbangan sudah digunakan untuk manfaat rakyat.

“Rakyat Johor perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian pandemik COVID-19 ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk saling melindungi sesama kita dan bersatu padu dalam perperangan melawan wabak COVID-19 ini,” tambah kenyataan itu lagi.

-NI-

Tinggalkan komen anda