Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MPOB Hasil Formula Baja Nutrien Seimbang Tingkatkan Hasil Sawit

By 4 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Sekumpulan penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), diketuai oleh Ahmad Afandi Murdi telah menghasilkan inovasi formulasi baja yang mengandungi nutrien seimbang yang dapat meningkatkan pengeluaran hasil buah sawit.

Ketua Pengarah MPOB Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata inovasi baja sebatian yang dikenali MPOB F3, adalah dalam bentuk butiran padat dan diformulasi dengan nisbah seimbang nitrogen, fosfat, kalium, magnesium dan borate yang dirumus khas untuk pokok sawit yang ditanam di tanah mineral.

Formulasi baja MPOB F3 mengandungi nutrien seimbang juga sesuai untuk kelapa sawit yang ditanam di pelbagai jenis tanah.

“Pokok sawit perlu pembajaan yang sempurna termasuk kandungan nutrien seimbang untuk pengeluaran hasil yang tinggi.

Walaupun keperluan nutrien adalah khusus mengikut keadaan setempat, penggunaan nisbah nutrien yang seimbang dalam baja sebatian akan memberikan input nutrien yang bersesuaian pada lokasi yang berbeza.

Penggunaan baja secara sistematik akan meningkatkan pengeluaran buah tandan sawit dan menjana pendapatan yang lebih tinggi bagi pengusaha ladang dan pekebun kecil,” kata Ahmad Parveez dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penggunaan baja MPOB F3 dapat menjimatkan kos kerana berupaya mengurangkan kehilangan nutrien dan meningkatkan keupayaan pengambilan nutrien oleh akar pokok.

“Pengenalan formulasi baja seimbang ini dapat mengurangkan kesan negatif persekitaran yang berkaitan dengan kadar penggunaan baja yang berlebihan, penurunan kualiti tanah dan pencemaran dari logam berat.

“Penyelidikan formulasi baja seimbang bermula dari tahun 1990 dan pemilihan bahan mentah sebagai sumber baja untuk formulasi adalah berdasarkan keberkesanan kos, konsistensi kandungan nutrien dan sesuai untuk pengadunan dan penyebatian.

“Rumusannya merangkumi perapi atau zeolite untuk meningkatkan pemulihan nutrien oleh tanaman sawit,” jelas beliau.

Beliau menambah MPOB telah menandatangani perjanjian dengan FGV Fertiliser Sdn Bhd bagi pengkomersialan baja MPOB F3.

Majlis penyerahan dokumen perjanjian antara MPOB dan FGV Fertiliser Sdn Bhd telah disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi semasa Majlis Pra Pelancaran Webinar TOT 2021 pada April lalu.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda