Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Orang Asli Takut Vaksin Satu Pembohongan

By 18 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Erzufariza Zulkifly (Maran)

MARAN, 18 Jun ( Malaysiaaktif) – Seramai 40 orang masyarakat Orang Asli dari perkampungan Batu 55 telah menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi Kempen Vaksinasi yang telah dijalankan.

Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, kempen vaksinasi ini merupakan inisiatif beliau yang diadakan khusus untuk Orang Asli bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam menerima suntikan vaksin.

“Saya tidak menyangka sambutan yang diterima sangat baik daripada masyarakat Orang Asli kerana sebelum ini timbul isu-isu yang mana Orang Asli dikatakan tidak berminat untuk menerima suntikan vaksin.

“Berdasarkan jumlah yang hadir semalam, dapat dilihat bahawa masyarakat Orang Asli semakin terbuka untuk menerima vaksin,” katanya ketika ditemui di Pusat Pendaftaran Nama Kempen Vaksinasi Batu 55, di sini semalam.

Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib melawat ke Pusat Pendaftaran Nama Kempen Vaksinasi di perkampungan Batu 55.

Ismail (dua dari kiri) melawat ke Pusat Pendaftaran Nama Kempen Vaksinasi di perkampungan Batu 55.

Tambah beliau, usaha untuk memastikan masyarakat Orang Asli mendaftar untuk menerima vaksin merupakan kerjasama dari pelbagai pihak antaranya agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penghulu dan batin Orang Asli.

Jantan Bujing, 59, mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah berjaya mengadakan Kempen Vaksinasi yang mana ia telah memudahkan masyarakat Orang Asli untuk menerima vaksin.

“Saya berharap pada masa akan datang, Pejabat Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah Maran dapat menambahkan bilangan kuota penerima vaksin dari kalangan Orang Asli berikutan peningkatan jumlah masyarakat di sini yang mula berminat untuk mendapatkan vaksin COVID-19,” ujarnya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat dan berita palsu mengenai vaksin COVID-19 kerana ia akan menganggu kelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijalankan oleh kerajaan.

-AH-

Tinggalkan komen anda