Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Sarawak Sasar Capai 80 Peratus Imuniti Kelompok Menjelang Ogos 2021

By 16 Jun 2021Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Joshua Emir/Mahmud Sulaiman (Sarawak)

KUCHING, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus imuniti kelompok akan dicapai sehingga Ogos tahun ini.

“Pada hari ini, kemampuan fasiliti, teknologi canggih Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) digerakkan oleh 600 petugas bagi melancarkan proses vaksinasi bagi penduduk setempat di Kuching dan Samarahan.

“Sarawak juga akan mempertingkatkan jumlah pasukan mobiliti dan logistik melibatkan perkhidmatan melalui udara (doktor udara), air dan jalan raya bagi menjejaki kawasan sukar iaitu masyarakat pedalaman,” katanya ketika mengadakan lawatan ke universiti tersebut, di sini hari ini.

Menurut Abang Johari, sehingga kini terdapat 131 buah hospital kerajaan dijadikan PPV merangkumi klinik kerajaan dan klinik swasta yang melibatkan seramai 92 orang doktor di mana 80 daripadanya adalah daripada sektor kerajaan.

“Selain itu, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit akan dibangunkan bersama tenaga pakar tempatan termasuk UNIMAS dan tenaga pakar luar negara dan telah diluluskan dengan bajet RM200 juta yang bertaraf antarabangsa bagi mengenalpasti dan langkah awal  pencegahan penyakit.

“Operasi PPV UNIMAS ini melibatkan 1000 dos yang telah diberikan pada hari pertama dan kedua, serta bakal ditingkatkan kapasiti kepada 3000 dos dan kemudiannya kepada 5000 dos vaksin sehari pada tempoh akan datang sehingga Ogos bermula 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda