Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Warga Sekolah, Komuniti Setempat Perlu Tingkat Permuafakatan

By 23 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Anis Hayati Tom (Kota Kinabalu)/KPLB

TAMPARULI, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tinambak dan komuniti setempat perlu tingkatkan nilai permuafakatan demi kebaikan bersama.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, berkata jalinan kerjasama antara sekolah, komuniti dan pemimpin masyarakat memainkan peranan penting demi kemajuan dan pembangunan sesebuah sekolah.

“Hubungan timbal balik ini penting memandangkan kita saling memerlukan antara satu sama lain kerana apabila baik gurunya, baiklah muridnya, maka baiklah juga masyarakat di sekelilingnya.

“Pihak komuniti berperanan untuk bertindak secara teratur dan bermuafakat mengikut sistem sosial yang dipersetujui bersama, manakala warga pendidik berperanan dalam memastikan anak-anak watan terus mendapat pendidikan,” katanya ketika membuat lawatan ke sekolah tersebut, di sini semalam.

Dalam pada itu, Jahid turut memaklumkan untuk memanjangkan masalah yang dihadapi SK Tinambak kepada jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan.

“Kita akan membuat permohonan kepada jabatan kerajaan yang terlibat agar tindakan segera dapat diambil untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka,” katanya.

Terdahulu, Guru Besar SK Tinambak Suhaimi Abdullah@Voo Hon Man, memohon supaya masalah hakisan tanah yang dihadapi oleh sekolah tersebut dapat di atasi dengan segera.

“Kami menghadapi masalah ancaman hakisan tanah yang melibatkan bangunan sekolah terutamanya apabila berlaku banjir.

“Jadi, kami berharap dengan kehadiran Datuk Jahid hari ini dapat membantu pihak sekolah kerana ia merupakan keperluan bantuan yang mendesak,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Suhaimi turut melahirkan penghargaan di atas kehadiran Jahid dan rombongan ke sekolah berkenaan kerana ia merupakan kunjungan julung kali oleh menteri kerajaan negeri ke sekolah berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Pekan Tinambak Mousus Abraham, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tinambak Aprijoh Angkaji dan Ketua Kampung Tinambak Peter Dony.

-RI

Tinggalkan komen anda