Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Bursa Malaysia Derivatives akan Lancar Night Trading pada Suku Keempat 2021

By 2 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Bursa Malaysia Derivatives Bhd akan melancarkan sesi dagangan selepas waktu dagangan (T+1) atau Night Trading (Dagangan Malam) pada suku keempat 2021 bagi meningkatkan daya tarikan pasaran derivatif Malaysia kepada peniaga di seluruh dunia.

Night Trading yang tersedia bagi kebanyakan produk Bursa Malaysia Derivatives merupakan satu kemajuan ketara yang menyelaraskan bursa itu dengan amalan pasaran global, kata Bursa Malaysia dalam satu kenyataan semalam.

Ia dijangka meningkatkan penemuan harga tawaran Bursa Malaysia Derivatives memandangkan pertumbuhan pesat dalam penyertaan pasaran derivatif sejak 2019.

Tahun lepas, jumlah bilangan kontrak yang diniagakan mencatatkan pertumbuhan 35 peratus, meningkat kepada 18.2 juta kontrak daripada 13.5 juta kontrak pada 2019, dengan penyertaan asing menyumbang 46 peratus daripada jumlah dagangan.

Pada 30 Jun, 2021, jumlah dagangan bulanan bagi kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) bursa memperbaharui paras tertingginya pada 1.7 juta kontrak yang bersamaan dengan 42.6 juta tan metrik minyak sawit mentah yang diniagakan, mengatasi rekod sebelumnya pada 1.66 juta kontrak yang diniagakan pada Mac 2020.

“Turun naik harga minyak sawit mentah ketika ini menunjukkan keperluan untuk mewujudkan Night Trading. Ia akan menyediakan saluran bagi peserta pasaran untuk menguruskan dengan lebih baik lagi pendedahan risiko harga mereka berdasarkan kepada perkembangan global masa nyata di zon masa yang berbeza.

“Kami akan terus bekerjasama dengan pemegang kepentingan kami bagi memastikan pelaksanaan Night Trading yang lancar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Derivatives Samuel Ho.

Bursa Malaysia Derivatives baru-baru ini menerima kelulusan prinsipal (AIP) daripada Suruhanjaya Sekuriti untuk mengendalikan Night Trading.

“Meningkatkan ekosistem dagangan akan membantu mengekalkan minat yang kukuh dan menggalakkan lagi pengantarabangsaan pasaran derivatif Malaysia.

“Peserta pasaran boleh mengharapkan lebih banyak projek pengukuhan infrastruktur yang akan dilancarkan secara berperingkat lewat tahun ini,” kata Ho.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda