Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

Sukarelawan Bantu Program Vaksin Orang Asli Johol

By 2 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shaharuddin Daud (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Program kerjasama antara sukarelawan setempat bersama agensi kerajaan dilihat dapat membantu dalam mempercepatkan program pemberian vaksin kepada semua lapisan masyarakat terutamanya Orang Asli.

Menurut penyelaras pasukan sukarelawan Dangi Norhayati Abdullah, seiring dengan peningkatan kes positif dalam komuniti yang semakin membimbangkan, usaha untuk membantu masyarakat terutamanya Orang Asli mendapatkan vaksin dengan segera amat penting.

“Walaupun terdapat sinar keyakinan untuk mendapatkan vaksin dalan kalangan masyarakat namun dari segi memastikan kelancaran proses bermula dari pendaftaran hingga kepada kemampuan untuk hadir, kami melihat ianya tidak diletakkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa sahaja.

“Justeru kami dengan kerjasama Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah dan Balai Rasmi Undang Luak Johol untuk kami untuk berganding bahu membantu menjayakan program ini” ujarnya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Kampung Orang Asli Tering, di sini semalam.

 

Datuk Undang, ADUN dan Tok Batin mendengar maklumbalas daripada petugas.

Datuk Undang, ADUN dan Tok Batin mendengar maklumbalas daripada petugas.

Sementara itu, Datuk Batin Mukim Johol Alam Suhut, berkata program usahama sebegini telah dapat membantu lebih 100 penduduk Orang Asli di Kampung Tering, Simpang Tering, Senibai dan Air Rengas walaupun permintaan daripada penduduk setempat lebih daripada ini.

“Pengurusan pemberian vaksin yang efektif akan memberi nilai tambah dalam membina keyakinan masyarakat Orang Asli seiring dengan kesedaran pentingnya vaksin dalam melawan COVID-19,” katanya.

 

Sukarelawan sedang membantu tugas pendaftaran.

Sukarelawan sedang membantu tugas pendaftaran.

Menurut penduduk Kampung Air Rengas, Jasli Jamil, 27, melihat kerjasama sebegini dapat membantu semua pihak kerana yang pentingnya tiada pihak yang akan ketinggalan dan dapat membentuk kelompok imuniti dengan cepat.

“Saya mengharapkan agar semua warga Orang Asli mengambil peluang ini, dan tidak teragak-agak untuk mendaftar sama ada kepada sukaralewan mahupun mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya.

Pada masa yang sama, Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Kuala Pilah Dr. Noraliza Radzali, berkata sehingga kini PPV Bergerak Kuala Pilah telah ke empat buah perkampungan Orang Asli melibatkan Kampung Ulu Mampas, Kampung Langkap, Kampung Air Runtuh dan Kampung Tering.

“Di sini, kita ada 14 buah perkampungan orang asli dan dalam bulan ini kita akan menerima lebih banyak vaksin sekali gus membolehkan Orang Asli di sini menerima suntikan vaksin masing-masing dan kita turut mengharapkan penglibatan sukarelawan untuk membantu kita,” katanya.

-FF

 

Tinggalkan komen anda