Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Bank Makanan KRT PPRS Pinggiran Putra 3 Bantu Ringankan Beban Penduduk

By 11 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zayana Isa (Kuantan)

KUANTAN, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Inisiatif bank makanan yang diwujudkan oleh Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Projek Perumahan Rakyat untuk Disewa (PPRS) Pinggiran Putra 3 berjaya meringankan beban para penduduk yang terkesan ekoran pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Kuala Kuantan 1 dan 2 di daerah Kuantan bermula Julai lalu.

Menurut Pengerusi KRT PPRS Pinggiran Putra 3 Siti Fairus Shaari, pihaknya telah mewujudkan bank makanan di kawasan kejiranan mereka sebelum PKPD dilaksanakan bagi membantu para penduduk yang tidak dapat bekerja dan kehilangan punca pendapatan terutama daripada golongan B40.

“Bank Makanan ini diwujudkan bagi memastikan para penduduk di sini tidak terputus bekalan makanan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan serta bagi mengurangkan pergerakan keluar masuk memandangkan kes jangkitan COVID-19 di sini masih pada paras yang tinggi,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan tersebut, di sini hari ini.

Sebahagian sumbangan yang diterima oleh penduduk PPRS Pinggiran Putra 3 daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Kuantan.

Sebahagian sumbangan yang diterima oleh penduduk PPRS Pinggiran Putra 3 daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Kuantan.

Tambah beliau, sambutan yang diterima amat menggalakkan di mana setiap hari bekalan yang disediakan di bank makanan ini akan susut dan habis.

“Di sini kami bukan sahaja menyediakan keperluan bekalan makanan, malah kami turut menyediakan bantuan kerusi roda, tuala wanita dan lampin pakai buang untuk mana-mana keluarga yang memerlukannya.

“Saya amat berterima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tanjung Lumpur dan agensi-agensi kerajaan yang banyak membantu kami di sini,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan untuk pembayaran sewa rumah secara dalam talian memandangkan pihak pengurusan tidak lagi menerima pembayaran secara tunai dan ini menyukarkan para penduduk yang tidak mempunyai perkhidmatan bank dalam talian dan tidak mahir dalam menggunakan peranti elektronik.

“Pusat operasi bank makanan ini mula beroperasi bermula pukul 3.00 petang hingga 5.00 petang pada setiap hari,” katanya.

-AH-

Tinggalkan komen anda