Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Gobok Johor Bantu Rakyat Terjejas Pandemik COVID-19

By 17 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Kartina Saruni/Nurshahrina Amran (Tangkak)

TANGKAK, 17 Jul (Malaysiaaktif) – “Ambil yang perlu, sumbang bila mampu” merupakan konsep Gobok Johor yang diwujudkan oleh kerajaan negeri dalam usaha membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Dr. Chong Fat Full, Program Gobok Makanan Rakyat yang disediakan oleh kerajaan negeri di bawah PRE 3.0 dilihat sebagai salah satu cara yang tepat dalam usaha membantu rakyat Johor.

“Program ini merupakan kesinambungan daripada bank makanan yang telah diwujudkan sebelum ini dalam belanjawan kerajaan negeri dan dilaksanakan di setiap daerah dalam negeri Johor.

“Konsep ini menggalakkan masyarakat untuk mengambil hanya barang-barang yang diperlukan sahaja dari gobok ini dan memberi ruang kepada yang lebih memerlukannya,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan kerja ke daerah Tangkak dan Segamat, di sini semalam.

Tambah beliau, terdapat lebih 19 jenis barangan yang disediakan termasuk lampin pakai buang kanak-kanak dan orang dewasa serta susu.

“Saya berharap agar bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri ini dapat meringankan beban golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan jangan ada yang cuba menyalahgunakan bantuan ini,” ujarnya.

Pegawai daerah Tangkak Mohammed Shakib Ali, berkata daerah Tangkak telah menerima peruntukan Gobok Makanan Rakyat Johor (GRJ) sebanyak RM800,000 untuk tujuan edaran dan agihan barang-barang keperluan kepada golongan yang terjejas yang mana ia telah dibuka di setiap kompleks penghulu dan mukim termasuk di pejabat daerah.

“Sejak beroperasi beberapa hari yang lalu, sebanyak 1,451 bungkusan telah pun diedarkan secara bersasar kepada fakir, miskin, asnaf, B40, M40 dan mereka yang terkesan termasuk yang telah diberhentikan kerja serta kehilangan punca pendapatan,” katanya.

Tambahnya, konsep ini hampir sama dengan gobok rezeki yang dilaksanakan oleh pejabat daerah sebelum ini.

“Saya mengalu-alukan mana-mana individu atau syarikat yang berminat untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukan dengan menambah barangan di gobok rezeki ini atau menghubungi pejabat daerah untuk sebarang maklumat lanjut.

“Selain itu beberapa perkara juga akan diperhalusi semula agar proses pemberian bantuan di bawah program ini dapat berjalan dengan lebih lancar dan teratur,” katanya.

Seorang penduduk tempatan yang ditemui, Zahariah Abdullah, 30, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas bantuan yang diberikan yang mana ia secara tidak langsung membantu meringankan beban beliau.

“Program ini jelas dapat membantu kami yang terjejas berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

“Saya amat berharap agar bantuan seumpama ini dapat diteruskan sehingga keadaan ekonomi negara kembali pulih dan kami dapat kembali bekerja semula seperti biasa,” ujarnya.

-NI-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda