Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

JKM Selaraskan Penghantaran Barang Keperluan Pesakit di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0

By 18 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Luqman Hakim Salamuddin (Petaling)/Syarul Azis (Putrajaya)

SERDANG, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan pihaknya hanya menerima ubat-ubatan, susu bayi, lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak yang dihantar waris pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ramacantiran M. Ananthan, berkata JKM merupakan agensi yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan penghantaran barang keperluan pesakit oleh waris sepanjang berada di pusat kuarantin ini.

“Pihak PKRC telah menetapkan hanya barang keperluan sahaja yang boleh dihantar oleh waris kepada pesakit melalui pihak JKM dengan mengisi borang melalui google form yang telah kita sediakan sebelum dihantar ke dewan-dewan pesakit berkenaan.

Antara barang-barang keperluan yang dihantar oleh waris pesakit melalui kawal selia JKM di Anjung Tiba PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.

Antara barang-barang keperluan yang dihantar oleh waris pesakit melalui kawal selia JKM di Anjung Tiba PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.

“Antara barang yang dibenarkan adalah ubat-ubatan yang telah disahkan oleh doktor, susu bayi, lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak serta pakaian tambahan sekiranya pesakit tidak membawanya ketika menjalani kuarantin di sini,” katanya ketika ditemui media di Anjung Tiba PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ramacantiran berkata terdapat beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pihaknya dalam menguruskan penghantaran barang oleh waris di pusat kuarantin ini.

“Cabaran utama adalah terdedah dengan bahaya penularan wabak COVID-19 kerana kita tidak tahu sama ada waris-waris yang menghantar barang ini mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang telah dijangkiti yang merupakan ahli keluarga terdekat.

Pegawai JKM menyerahkan barang keperluan pesakit di dewan Pusat Kuarantin.

Pegawai JKM menyerahkan barang keperluan pesakit di dewan Pusat Kuarantin.

“Terdapat juga waris yang tidak berpuas hati kerana kita tidak membenarkan penghantaran barang selain daripada barang keperluan pesakit sahaja.

“Kita telah mengehadkan penghantaran barang bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pesakit disini dengan hanya membenarkan barang keperluan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 Dr Shahabuddin Ibrahim, berkata JKM turut menyelaras bantuan dan sumbangan daripada pelbagai pihak di pusat kuarantin berkenaan.

“Pihak kami di sini turut menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk sumbangan individu, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta syarikat yang prihatin terhadap petugas barisan hadapan serta pesakit di pusat kuarantin ini yang diuruskan melalui JKM.

“Kita menyambut baik sumbangan-sumbangan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak untuk keperluan pesakit dan juga sebagai penghargaan kepada petugas-petugas disini,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda