Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

MOVAK Bantu Tingkatkan Jumlah Penerima Vaksin di Pahang

By 15 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Azizul Mohamad (Maran) 

MARAN, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 350 orang penduduk Kuala Wau dan kampung-kampung yang berhampiran telah menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech menerusi program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK), semalam.

Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, sebanyak 25 buah bas telah diubah suai menjadi Mobilisasi Vaksin Komuniti bagi memudahkan gerak kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan imuniti kelompok tercapai di negara ini.

“Dengan adanya MOVAK, kita bukan sahaja dapat meningkatkan jumlah penerima vaksin di kawasan luar bandar malah kita juga dapat mempercepatkan proses penerima vaksin dalam satu-satu masa.

“Daerah Maran merupakan daerah yang pertama di negeri ini yang menerima suntikan vaksin melalui program MOVAK,” katanya ketika ditemui dalam program Mobilisasi Vaksin Komuniti Daerah Maran di Klinik Kesihatan Kuala Wau, di sini.

Salah seorang penerima vaksin dibantu petugas.

Datuk Seri Ismail Abd Muttalib membantu seorang warga emas yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Tambah beliau, program ini dijalankan di sekitar daerah Maran merangkumi tiga lokasi yang telah dikenal pasti iaitu Kampung Kuala Wau, Kampung Orang Asli Merbau dan Kampung Pesagi.

“Program ini merupakan insiatif kerajaan dalam memudahkan para penduduk setempat untuk menerima suntikan vaksin COVID-19,” ujarnya.

Penghulu Mukim Luit Azhar Bakar, 59, yang ditemui berkata program MOVAK merupakan pendekatan terbaik yang memudahkan para penduduk Kampung Kuala Wau untuk mendapatkan suntikan vaksin berikutan lokasi kampung ini yang terletak jauh dari bandar Maran.

“Sebelum ini, agak sukar untuk para penduduk kampung di sini keluar untuk mengambil vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terletak jauh di bandar Maran.

“Kesukaran ini lebih dirasai terutama kepada golongan warga emas dan para penduduk yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan,” katanya.

Azhar turut berterima kasih kepada pihak kerajaan di atas inisiatif yang diambil bagi memudahkan para penduduk di kawasan pedalaman untuk menerima suntikan vaksin dalam keadaan yang selesa.

-AH-

Tinggalkan komen anda