
PUTRAJAYA, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengadakan sesi libat urus secara aktif dengan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut berikutan aduan awam mengenai syarikat platform perkhidmatan penghantaran makanan mengenakan caj komisyen dan harga makanan dan minuman yang tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata suruhanjaya itu juga memantau dan menilai situasi sama ada tindakan oleh beberapa syarikat perkhidmatan penghantaran makanan itu bertentangan dengan Akta Persaingan 2010, atau tidak.
“MyCC bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah bertemu dengan pihak-pihak berkaitan termasuk pemain industri runcit serta makanan dan minuman (F&B) bagi memahami isu dibangkitkan mereka.
“Berdasarkan beberapa siri pertemuan yang diadakan, kami mengenal pasti beberapa kebimbangan dan cabaran dalam industri, yang berkaitan dengan bukan hanya persaingan tetapi juga kepenggunaan. Jalan penyelesaiannya ialah terlibat secara aktif dengan penyedia platform penghantaran makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata justeru, MyCC memandang serius setiap sudut daripada perspektif Akta Persaingan 2020, khususnya mengenai tindakan syarikat platform penghantaran makanan ini terhadap pemain industri F&B, penghantar dan pengguna dan sama ada ia menimbulkan sebarang isu persaingan.
“Semua opsyen sedang dipertimbangkan dalam mengendalikan isu ini termasuk menggunakan kuasa penguatkuasaan di bawah Akta Persaingan 2010 dan bekerjasama rapat dengan KPDNHEP untuk mencapai penyelesaian komprehensif bagi semua isu yang dibangkitkan pemain industri berkaitan,” katanya.
Beliau berkata di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 10 Akta Persaingan 2010 dengan jelas melarang perusahaan daripada menyertai sebarang perjanjian antipersaingan dan menyalahgunakan kedudukan dominan mereka dalam pasaran.
“Tindakan boleh diambil terhadap kumpulan pemain utama yang menyalahgunakan kedudukan dominan mereka secara kolektif,” katanya.
Pengguna dan sektor perniagaan boleh menyalurkan aduan mereka berkaitan salah laku perkhidmatan p-hailing menerusi laman web MyCC atau e-mel ke [email protected] atau Whatsapp di talian +6019 215 2273.
Pengadu dinasihatkan memberi laporan lengkap aduan mereka berserta bukti yang relevan.
— BERNAMA