Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

PPV Klinik Kesihatan Berpindah ke Dewan Majma’

By 2 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Judy Henry/Nur Hani Abdullah (Sarawak)

KUCHING, 2 Julai (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, membuat tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Jalan Masjid yang dipindahkan ke Dewan Majma‘ Jalan P. Ramlee, bagi memastikan proses perpindahan berjalan lancar.

“Saya mahu melihat masyarakat negeri Sarawak bersatu memastikan hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok bagi memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19.

“Kesedaran semua pihak dan masyarakat untuk mendapatkan vaksin amat penting demi keselamatan diri dan keluarga, justeru pembukaan operasi PPV di Dewan Majma’ memberi kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat sekitar Kuching,” katanya ketika sesi sidang media tersebut, di sini kelmarin.

Abang Johari turut memaklumkan bahawa PPV baharu ini akan menyediakan khidmat suntikan vaksinasi kepada 300 ribu penduduk termasuk mereka yang datang daripada daerah Lundu dan Bau.

Menurut Ketua Penyelaras Dr. Maila Mustapha, PPV Klinik Kesihatan Jalan Masjid yang kini telah dua hari beroperasi di Dewan Majma’ ini berjalan lancar dan ianya memberi keselesaan kerana tempat yang luas dan dibantu seramai 160 petugas sukarelawan dari pelbagai agensi kerajaan dan NGO yang terdiri dari pelbagai kaum.

“Anggaran seramai 600 penerima vaksin telah divaksin pada hari pertama, hari kedua dijangka 800 penerima dan hari seterusnya menyasarkan 1000 vaksinasi sehari.

“Orang ramai harus sedar janganlah takut, datanglah ke janji temu vaksin yang telah ditetapkan demi kesihatan diri, keluarga dan orang sekeliling kita,” katanya.

Seorang penerima vaksin Britten Ujang, 79, yang pada mulanya menolak untuk divaksin kerana gementar, namun bersetuju menerima suntikan tersebut setelah ditenangkan pegawai kesihatan bertugas, bersyukur kerana urusan ini berjalan lancar.

“Saya bersyukur dan gembira kerana proses vaksinasi berjalan dengan mudah dan tidak menyakitkan bahkan petugas di sini juga sangat membantu,” katanya yang datang dari Daerah Betong sambil ditemani cucunya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda